Bersenam sakan, bapa Meghan Markle mahu tampil 'sedap mata memandang'?
Agensi
April 21, 2018 13:42 MYT
April 21, 2018 13:42 MYT
MAJLIS perkahwinan diraja Britain, Putera Harry dan Meghan Markle yang bakal berlangsung 19 Mei ini sememangnya sedang hangat diperkatakan.
Lebih-lebih lagi apabila Meghan dikatakan tidak mempunyai hubungan baik dengan ayah kandungnya sendiri, Thomas Markle.
Ini kerana bapanya itu telah bercerai dengan ibunya, Doria Ragland pada 1988 sewaktu Meghan berusia enam tahun.
Menurut sumber terdekat, kehadiran Thomas masih belum dapat dipastikan kerana dua beranak itu tidak ‘bercakap’ antara satu sama lain.
“Thomas lebih suka bersendirian dan tidak mahu diberi perhatian oleh pihak media sempena majlis perkahwinan anaknya,” katanya seperti yang dilaporkan portal Express.co.uk.
Namun, menurut laporan Daily Mail, Thomas kini sedang berusaha untuk menurunkan berat badan agar tampak lebih menarik dan 'sedap mata memandang' sewaktu majlis perkahwinan anaknya itu nanti.
Thomas, 73 tahun, dilihat sedang bersenam di sekitar kediamannya di Rosarito, Mexico.
Dalam pada itu, Meghan dan Harry yang telah mengikat pertunangan awal bulan November tahun lalu, akan berkahwin 19 Mei ini di Gereja St. George, London.