Bermadu kali kedua, Ziela Jalil tidak pernah mahu berahsia

Saharudin Musthafa
Januari 4, 2021 13:28 MYT
Datuk Ziela Jalil menikahi Pengerusi Masjid Ibnu Mas'ud, Datuk Syed Osman Al Habshee Syed Omar pada 17 Februari 2019.
KUALA LUMPUR: Apa kudrat yang Datuk Ziela Jalil ada untuk menahan ketentuan takdir bertemu jodoh dengan suami orang buat kali kedua.
Kerana itu, sejak lebih dua tahun kembali melayari bahtera rumah tangga, pelakon dan penerbit drama terkenal tanah air itu berlapang dada dengan aturan Allah.
Perkahwinan dengan Pengerusi Masjid Ibnu Mas'ud, Datuk Syed Osman Al Habshee Syed Omar pada 17 Februari 2019, kata Ziela, bukan berlandaskan kerana harta benda kerana suaminya, seorang yang sangat sederhana.
Namun, keperibadian, Syed Osman yang bersedia menerima kelebihan dan kekurangan dirinya menyebabkan Ziela terbuka hati menerima lamaran selepas lebih lima minggu berkenalan.
Menurut Ziela atau nama sebenarnya Norzila Abdul Jalil, Syed Osman juga seorang yang sangat terbuka apabila memahami dirinya yang sukar untuk melupakan kenangan hidup bersama suami pertama, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob.
Kata Ziela, sebagai wanita yang sudah selesa hidup sebagai ibu tunggal selama 11 tahun, bukan mudah untuk dia membuat keputusan kembali menjadi isteri atau lebih tepat untuk bermadu buat kali kedua.
Ziela mengakui, membuat keputusan untuk melalui episod sebagai isteri kedua untuk sekali lagi menuntutnya berfikir panjang kerana banyak hal dan pertimbangan yang perlu dibuatnya.
"Lima minggu kami kenal memang waktu yang singkat. Tapi saya yakin bahawa ini semua takdir Allah," kata Ziela berkongsi cerita dengan Astro AWANI pada Isnin.
Perkongsian cerita pernikahan kali kedua ini dibuat Ziela selepas tular di media sosial mengenai hantaran seorang gadis yang mendakwa pelakon itu menikahi bapanya sebagai isteri kedua.
Ekoran itu, netizen mula berdebat dan saling membalas hujah masing-masing.
Ziela, 51, menikahi Syed Osman, 55, di sebuah masjid di ibu negara yang berwalikan bapa saudaranya.
Isu perkahwinannya dengan Syed Osman yang menjadi bahan perbincangan netizen juga sebetulnya, jelas Ziela, memberi isyarat bahawa dia perlu berkongsi dengan masyarakat mengenai statusnya.
Ziela menegaskan, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk merahsiakan perkahwinan dan menyembunyikan status sebagai isteri kedua.
Selain mahu menjaga hati banyak pihak, Ziela juga memilih tidak berkongsi sebarang cerita selama dua tahun kerana menunggu masa yang sesuai.
Namun, tindakan anak Syed Osman yang mendahului dengan berkongsi di Twitter menjentik hatinya untuk terbuka mengenai perkahwinan kali keduanya itu.
"Sejujurnya, saya terkejut dan agak ralat apabila gadis berkenaan terlebih dahulu mendedahkan perkara ini kepada umum menerusi Twitter.
“Namun, dalam masa sama, saya melihat perkongsian itu dari sisi positif dan berpendapat itu satu isyarat menandakan masa untuk saya berkongsi berita ini kepada umum sudah tiba.
“Bahkan, saya amat yakin tindakan itu juga membawa maksud mereka sudah bersedia untuk berhadapan dengan pelbagai kemungkinan termasuk menjadi tumpuan media dan netizen,” ujar Ziela dalam nada tenang.
Menurut Ziela yang juga pengasas syarikat produksi Pena Creative Pictures Sdn Bhd, pada awal perkahwinan dengan Syed Osman, dia juga cuba merahsiakan perkahwinan itu daripada keluarga termasuk anak-anak kerana tidak mahu melukakan hati mereka.
Ziela enggan anak-anak merasakan seolah-olah dia sudah melupakan Allahyarham bapa mereka.
"Saya tegaskan pada anak-anak, tiada siapa yang mampu menggantikan tempat bapa mereka kerana dua lelaki ini adalah berbeza.
“Mungkin sudah tersurat jodoh saya dan satu ujian buat saya. Mungkin sebelum ini saya sering mengatakan yang tidak akan berkahwin lagi, namun siapalah saya untuk menidakkan ketentuan Ilahi," kata Ziela yang juga ibu kepada tiga orang anak serta nenek kepada seorang cucu.
Menerusi perkahwinan dengan bekas menteri Kabinet dan tokoh politik ternama, Allahyarham Megat Junid pada 1991, Ziela dikurniakan sepasang anak iaitu Dr Puteri Julia Nabilah dan Megat Jufri Nasrullah.
Ziela juga mempunyai seorang anak angkat, Ibrahim Junid Abdullah.
#Ziela Jalil #bermadu #kali kedua #Syed Osman Al Habshee Syed Omar #Pengerusi Masjid Ibnu Mas'ud #isteri kedua #berkahwin #Megat Junid Megat Ayob
;