Berlakon dengan Aliff Aziz: 'Saya tak takut, tapi berjaga-jaga' - Farah Nabilah
Gempak
Februari 16, 2018 10:42 MYT
Februari 16, 2018 10:42 MYT
PELAKON Farah Nabilah kini bergandingan dengan penyanyi Aliff Aziz dalam drama bersiri "Halalkan Hati Yang Ku Curi" yang sedang giat menjalani penggambaran.
Tidak takut bergandingan dengan Aliff yang pernah terpalit dengan kontroversi, Farah mahu menjadi diri sendiri.
“Sejujurnya, saya tak takut bergandingan dengan Aliff. Saya hanya menjadi diri sendiri dan bersikap profesional. Isteri Aliff juga ada di set penggambaran,” kata Farah.
Tambah gadis jelita itu, dia hanya mengambil langkah berjaga-jaga serta berfikiran positif.
“Saya tak takut berlakon bersama Aliff, tetapi sudah pasti saya mengambil langkah berjaga-jaga.
“Saya mahu jadi profesional dan berfikiran positif sahaja untuk melunaskan kerja. Alhamdulillah, setakat ini semuanya baik-baik sahaja.
“Mungkin dahulu dia ada buat silap tetapi sekarang mungkin dia sudah berubah? Siapa tahu? Berikan peluang untuk kami menyerlahkan bakat lakonan,” kata Farah lagi.
Drama bersiri "Halalkan Hati Yang Ku Curi" bakal menemui penonton sempena kedatangan Ramadan tahun ini.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Aliff & Farah