Berkopi bersama The Jonas Brothers di Suria KLCC
Syafique Shuib
Oktober 28, 2012 15:34 MYT
Oktober 28, 2012 15:34 MYT
Hari Khamis lepas merupakan hari cuti saya dan saya menggunakan hari itu untuk ke Pameran Homedec yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Setelah beberapa jam di sana, teringin pula minum kopi di Starbucks. Suria KLCC mempunyai beberapa kafe Starbucks namum outlet yang terletak di aras 3 juga menjadi pilihan hari itu.
Semasa menunggu dalam barisan, saya masih belum membuat keputusan sama ada mahukan secawan kopi atau air cokelat panas. Mata saya sedang menghadap papan menu dan juga kek-kek yang lazat di dalam display fridge.
Tiba-tiba kelihatan seorang lelaki 'Mat Saleh' muda yang menuju ke kafe yang sama.
“Siapa ya? Seperti pernah saya lihat lelaki ini sebelumnya,” yakin saya seperti kenal lelaki itu.
Semasa membuat pesanan kepada barista Starbucks, terlintas di minda bahawa beliau adalah selebriti terkenal dunia Kevin Jonas, yang merupakan salah seorang trio dalam kumpulan The Jonas Brothers.
Selepas membuat pesanan, sempat saya pandang ke arah beliau dan barulah saya nampak ‘entourage’ beliau yang terdiri dari teman-teman dan juga beberapa pegawal peribadi.
Saya terus keluarkan telefon dari kocek seluar saya – bukan untuk merakam gambar Kevin Jonas – tapi untuk twit: “Kevin Jonas di Starbucks KLCC!!”
Keadaan masih terkawal. Ramai yang perasan kelibat mereka di pusat membeli belah terkemuka ibu kota itu. Ada yang berbisik diantara satu sama lain namun tiada yang berani menegur Kevin.
Setelah mengambil pesanan saya, terlihat adik Kevin iaitu Nick yang berdiri ditepi kafe bersama seorang teman wanita. Tergerak hati saya untuk bergambar bersama selebriti itu namun agak segan kerana tiada peminat-peminat lain yang berbuat demikian.
Sejurus melangkah ke arah tempat duduk, saya tertanya, mahu merakam gambar bersama mereka atau tidak. Bukannya mudah untuk berhadapan dengan selebriti antarabangsa setiap hari.
Selepas beberapa minit, saya tinggalkan air saya di atas meja dan pergi ke arah Nick. Pegawal peribadi beliau tahu yang saya ke arah Nick namun saya terus bertanya, “Nick, boleh bergambar bersama awak?”
Pegawal peribadi beliau berbaik hati untuk merakam gambar saya bersama Nick tanpa banyak soal.
Saya sempat juga tanya kenapa beliau berada di ibu kota Malaysia ini.
“Saya akan membuat persembahan malam semalam,” jelas beliau.
Tanpa mahu mengganggu masa peribadi beliau dan sebelum pegawal peribadi menghalau saya, saya ucapkan terima kasih kepada kedua-duanya sebelum beredar ke tempat duduk saya.
Kevin, Nick dan ‘entourage’ mereka juga beredar dari Starbucks.
Namun, walaupun ramai yang menyedari kehadiran beliau, tidak ramai yang menegur ataupun meminta tandatangan mereka.
Secara jujur, saya bukanlah peminat fanatik mereka tetapi mereka adalah superstar antarabangsa, dan mereka di Suria KLCC... bila lagi mendapat peluang sebegini?