"Berkarya, berkarya dan berkarya..." - Pesanan legenda seni Hetty Koes Endang kepada penyanyi baharu
Saharudin Musthafa
Jun 20, 2022 13:10 MYT
Jun 20, 2022 13:10 MYT
KUALA LUMPUR: Jangan jemu berkarya merupakan prinsip seniwati legenda Indonesia, Hetty Koes Endang sejak dari awal penglibatannya sebagai anak seni.
Sebagai penghibur masyarakat, artis sepertinya harus mencintai kerjaya mereka sama seperti menyayangi diri sendiri.
Justeru, tidak hairanlah mengapa sejak 52 tahun lalu, nama Hetty tidak pernah pudar dalam landskap dunia hiburan serantau.
Beliau sentiasa berada dalam radar seni kerana, kata penghibur versatil itu, nyanyian adalah periuk nasinya.
Bahkan, gelanggang seni juga yang mendekatkan beliau dengan masyarakat.
Jauh lebih utama, setiap karya yang dihasilkan oleh seseorang seniman atau seniwati itu akan dikenang selamanya oleh masyarakat, pesan Hetty.
“Bunda sering mengingatkan penyanyi-penyanyi muda berkarya, berkarya dan berkarya. Jangan ada istilah lelah dalam kerjaya sebagai penyanyi. Percayalah, karya tinggalan kita akan menjadi kenangan abadi buat masyarakat apabila sampai masanya kelak,” ujar Hetty atau lebih mesra disapa Bunda dalam wawancara bersama Astro AWANI hari ini.
Pada usia 65 tahun, Hetty masih aktif menyanyi kerana baginya kerjaya yang diceburi lebih lima dekad lalu itu membahagiakannya.
Tidak hanya dijadikan sebagai punca pendapatan, sebaliknya, profesion seni itu benar-benar membahagiakan beliau khususnya berpeluang menghiburkan masyarakat.
“Bunda amat-amat bersyukur kerana Allah SWT memanjangkan rahmat dan hidayah kepada bunda melalui seni suara
“Selepas 52 tahun menyanyi, apa yang bunda peroleh tidak datang dengan mudah, ia adalah sebuah perjalanan yang sangat panjang, namun, pada pengakhirannya bunda memperoleh pelbagai kemanisan. Bunda terlalu bersyukur,” Hetty menyambung perbualan.
Diangkat sebagai legenda seni di tanah air sendiri serta di negara serantau, Hetty tidak pernah beranggapan kejayaan yang dicapai semata-mata kerana usahanya sendiri.
Sebaliknya, penyanyi yang sudah meraih pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara itu tidak henti-henti merakamkan penghargaan buat peminat-peminatnya yang masih kekal menyokongnya.
“Bunda harus sifatkan bunda antara artis yang bertuah kerana disayangi dan disokong oleh peminat bukan hanya di Indonesia, bahkan di Malaysia yang sudah seperti rumah kedua bunda. Begitu juga sokongan dari peminat di negara-negara lain,” sambung penyanyi yang sangat masyhur dengan lagu Berdiri Bulu Romaku, Kuda Hitam dan ratusan lagu lain.
Sepanjang lebih lima dekad konsisten menghiburkan orang ramai, Hetty atau nama sebenarnya, Hetty Koes Madewi sudah merakamkan 150 buah album sekali gus mencatat rekod dan sejarah peribadi di Indonesia.
Sebagai menghargai prestasi membanggakan itu, Muzium Rekor Indonesia (MURI) menyampaikan anugerah Artis Penyanyi Wanita Dengan Jumlah Rakaman Lagu Komersial Terbanyak.
Majlis penyampaian anugerah itu telah diadakan pada 9 Jun lalu.
“Apabila diberitahu nama bunda terpilih sebagai penerima anugerah MURI ini, bunda terlalu gembira kerana akhirnya mimpi bunda menjadi kenyataan. Syukur yang tidak terhingga,” kata Hetty yang pernah merakamkan lagu dalam pelbagai genre dan bahasa daerah.
Sebagai meneruskan kebahagiaan dan meraikan sambutan jubli emas kerjaya seninya, ada dua rencana yang akan disempurnakan seniwati terbilang Indonesia itu.
Satu daripadanya ialah melengkapkan keinginannya untuk bekerjsama dengan anak perempuannya, Afifah Yusof dalam sebuah lagu.
“Semua keinginan dalam bidang seni sudah bunda dapat, cuma satu yang belum ialah berkolaborasi dengan puteri bunda. Sudah sampai waktunya bunda bekerjasama dengan Afifah,” ujar Hetty sambil memaklumkan Afifah berbakat besar dalam bidang nyanyian dan penciptaan lagu.
Sementara, rencana kedua yang akan dilaksanakan ialah konsert solo beliau yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 27 Ogos depan.
“Terima kasih Malaysia kerana masih menerima bunda untuk menghiburkan anda semua. Insya-Allah bunda masih sihat, masih mampu menghiburkan anda semua.
"Bunda gembira sekiranya anda juga gembira dengan persembahan bunda,” kata Hetty yang akan meneruskan kerjasama dengan sahabat karibnya pemuzik ternama, Ramli MS dalam persembahan sempena ulang tahun ke-50 kerjaya seninya itu.