Beri peluang kepada kepimpinan baharu Finas - Karyawan
Bernama
Jun 2, 2020 17:53 MYT
Jun 2, 2020 17:53 MYT
Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) meminta supaya semua pihak memberi peluang bagi kepimpinan baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk menguruskan perbadanan itu sebaik mungkin demi kemajuan bersama.
Presidennya Datuk Freddie Fernandez berkata kepimpinan perbadanan yang diterajui pengerusinya Zakaria Abd Hamid yang baru dilantik ke jawatan itu pada 23 Mei lepas, harus diberi masa bagi melaksanakan perubahan.
Beliau turut meluahkan rasa 'sedikit kecewa' dengan pandangan negatif beberapa penggiat filem tempatan, antaranya yang mempertikai wawasan pengerusi Finas itu untuk membawa Malaysia sehingga ke tahap memenangi anugerah Oscar.
"Bagi kami ia satu cita-cita dengan tanda aras yang tepat, satu bentuk motivasi ke tahap yang paling tinggi. Seharusnya kita semua berfikiran positif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan pelantikan Zakaria sebagai pengerusi baharu Finas pada 23 Mei lepas, dengan Presiden Yayasan KRU Datuk Norman Abdul Halim sebagai Timbalan Pengerusi.
Freddie berkata dalam suasana pandemik COVID-19 menganggu segala aktiviti serta rutin ramai, kepimpinan baharu ini menggalas tugas yang lebih berat untuk membangunkan semula industri.
"Semoga pandangan negatif yang dilontarkan menjadi motivasi untuk mereka berkerja lebih keras bagi menentukan segala sasaran yang telah ditetapkan dicapai dengan penuh cemerlang, selamat maju jaya Finas," katanya.
Beliau berkata Karyawan turut mengucapkan tahniah kepada pengerusi dan ahli lembaga pengarah Finas yang dilantik dan berharap agar mereka dapat membawa industri perfileman ke satu tahap yang lebih cemerlang.
"Dibantu dengan penuh komitmen oleh Datuk Norman Abdul Halim selaku timbalan pengerusi, serta ahli-ahli lembaga pengarah yang lain yang terdiri dari penggiat filem pelbagai bangsa yang telah terbukti dengan karya-karya mereka sebelum ini.
"Karyawan menaruh harapan yang tinggi kepada barisan kepimpinan baharu ini untuk membawa industri perfileman tanah air ke tahap yang lebih gemilang di masa akan datang," katanya.
-- BERNAMA
#FINAS
#Freddie Fernandez
#karyawan
#pengerusi baharu
#pengerusi finas
#Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia
#persatuan karyawan malaysia
#Zakaria Abd Hamid