Berhenti sebar berita bukan-bukan mengenai Nad Zainal - Ungku Ismail
Faida Rahim
November 25, 2022 17:50 MYT
November 25, 2022 17:50 MYT
KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Ungku Ismail memohon orang ramai menghentikan perkongsian dakwaan tidak tepat mengenai keadaan terkini sahabatnya, Nad Zainal.
Menurut Ungku, sejak pelakon drama Cina Buta itu dirawat di unit rawatan rapi (ICU), pelbagai versi cerita dilaporkan yang boleh mengguris hati ahli keluarga termasuk dirinya.
“Tolong hentikan spekulasi bukan-bukan mengenai keadaan Nad. Macam-macam cerita saya dengar. Ada berita cakap Nad dah sedar, ada juga berita memaklumkan buah pinggang Nad kini terjejas akibat jangkitan.
“Sebelum mengeluarkan kenyataan, saya mohon sangat agar fikir kerana banyak hati yang perlu dijaga. Nad juga ada bekerjasama dengan beberapa produk kesihatan sebelum ini. Jadi saya mohon sangat sebelum keluar atau menulis kenyataan, pastikan ia tepat,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui, di sini, hari ini.
Berkongsi perkembangan terkini, aktor berusia 36 tahun ini berkata, apa yang diharapkan Ungku Ismail ialah, orang ramai terus mendoakan kesihatan Nad kembali pulih seperti sedia kala.
“Sudah ada perubahan positif berbanding hari pertama dia berada di ICU. Nad dipantau oleh tujuh orang doktor di sini.
"Sekarang doktor cuba memberikan rawatan dengan lebih efisien lagi. Yang lain semua masih sama. Saya mohon doakan Nad dikurniakan kesembuhan. Siapa tahu dalam ramai-ramai yang berdoa, ada di antara kalian yang doanya diangkat,” pintanya.
Bercakap mengenai perkembangan seni, Ungku Ismail berkata, buat masa sekarang, dia sedang berehat daripada sebarang aktiviti seni.
“Buat masa sekarang saya mahu tunggu Nad sedar dari koma dahulu, Tipu kalau saya cakap saya boleh fokus bekerja dengan melihat keadaan sahabat baik saya berada di ICU.
“Bila nampak gambar dia di telefon pun hati saya dah sebak. Agak sukar untuk saya terikat dengan sebarang aktiviti penggambaran ketika ini. Insya-Allah berkat doa orang ramai, saya yakin Nad akan bangun nanti,” akhirinya.
Nad dikejarkan ke unit kecemasan pada Isnin lalu dan doktor mengesahkan paru-parunya dipenuhi darah selepas menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan).
Beberapa hari lalu, aktres berusia 32 tahun itu dilaporkan kritikal di ICU sebuah hospital swasta di Ampang, dipercayai akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.