Berdepan masalah jantung, Uyaina Arshad pilih bersalin secara pembedahan

Gempak
Mei 20, 2024 16:06 MYT
Difahamkan, Uyaina memilih untuk menjalani prosedur pembedahan atas nasihat doktor susulan masalah jantung yang dialami. - Foto Gempak
PASANGAN selebriti Uyaina Arshad melahirkan rasa syukur apabila dia sudah selamat melahirkan cahaya mata kedua di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
Selamat Bersalin Secara Pembedahan
Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh Uyaina atau nama lengkapnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 31, menerusi hantaran di Instagram miliknya.
“Kami dah berempat sekarang. Alhamdulillah. Doakan untuk keluarga kecil kami,” katanya yang melahirkan bayi lelaki seberat 2.9 kilogram.
Menerusi hantaran sama, Uyaina turut memuat naik foto dia sedang mengendong bayinya dan ditemani suami, Raja Shahiran di sisi.
Syukur & Berterima Kasih
Sementara itu, Raja Syahiran turut meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada orang ramai yang menitipkan doa buat mereka sekeluarga.
“Alhamdulillah kedatangan anakanda kedua yang dikasihi. Bonda (Uyaina) sedang berehat selepas bertarung nyawa demi anakanda tercinta.
“Semoga Raja Urhan (anak sulung) menjadi seorang kekanda yang baik menjadi teladan buat adinda.
“Tiada apa yang dipinta selain doakan kesejahteraan kami sekeluarga hingga akhir waktu,” katanya.
Difahamkan, Uyaina memilih untuk menjalani prosedur pembedahan atas nasihat doktor susulan masalah jantung yang dialami.
Untuk rekod, Uyaina mendirikan rumah tangga dengan Raja Syahiran pada 21 Disember 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Raja Urhan yang kini berusia setahun lima bulan.
*Artikel asal yang disiarkan di Gempak
#Uyaina Arshad #selamat melahirkan cahaya mata kedua d #masalah jantung #Raja Shahiran
;