Bercinta dengan gadis 14 tahun, tindakan Kriss Hatta undang kecaman

Faida Rahim
Oktober 9, 2022 12:32 MYT
Kisah percintaan Kriss dan gadis 14 tahun itu mendapat liputan meluas media Indonesia. -Instagram/@krisshatta07
JAKARTA: Pelakon Indonesia, Kriss Hatta mendedahkan bahawa dia sedang menjalin hubungan romantis dengan seorang gadis berusia 14 tahun.
Memetik laporan 8days, Kriss menegaskan meskipun gadis yang merupakan pelakon baharu itu masih berada di alam persekolahan, hubungan mereka direstui ibu bapa gadis itu.
Kongsi Kriss, ibu gadis itu turut berpesan agar anaknya perlu meraih populariti dalam dunia lakonan melalui kerja keras dan bukan dengan kisah percintaan.
Kisah percintaan Kriss dan gadis itu mendapat liputan meluas media Indonesia dengan kalangan netizen rata-ratanya tidak bersetuju akan hubungan mereka.
“Hubungan ini menjadi masalah kerana dia masih kanak-kanak.
"Jurang umur 20 tahun tidak akan menjadi isu jika pasangan itu berumur 30 tahun dan 50 tahun kerana kedua-duanya akan menjadi orang yang matang,” kata salah seorang netizen kepada media Indonesia.
Sementara itu, sejak kisah cinta mereka tersebar, netizen mula menggelar Kriss sebagai paedophile dan mengaitkan dia dengan isu sexual grooming (antunan seksual).
Dalam masa sama, Suruhanjaya Perlindungan Kanak-kanak Indonesia juga menyelar tindakan Kriss dengan menyatakan dia menunjukkan contoh buruk apabila memiliki perasaan terhadap gadis di bawah umur dan ia mungkin menggalakkan remaja lain untuk mengikut jejak langkah serupa.
Difahamkan, Kriss juga berniat untuk berkahwin selepas gadis itu tamat persekolahan.
Terdahulu, pemerintah pusat di Jakarta mahu menghapuskan perkahwinan kanak-kanak menjelang 2030 namun akur usaha menamatkan adat dan tradisi lama ini bukanlah sesuatu yang mudah.
#Kriss Hatta #pelakon Indonesia #hubungan romantis dengan gadis 14 tahun #pelakon baharu
;