Berbaik-baiklah semula, Will dan Chris - Jada Pinkett

Agensi
Jun 2, 2022 14:31 MYT
Jada berharap suaminya, Smith (kiri) boleh berdamai dengan Rock, dan melupakan insiden tersebut. - Instagram: @willsmith & @chrisrock
SELEPAS hampir tiga bulan Anugerah Akademi (Oscar) ke-94 dicemari insiden lempang, pelakon dan penyanyi Hollywood, Jada Pinkett-Smith akhirnya 'bersuara' mengenai tindakan suaminya, Will Smith terhadap Chris Rock.
Menerusi rancangan bual bicara Red Table Talk, aktres filem Madagascar 3: Europe's Most Wanted itu berharap suaminya, Smith boleh berdamai dengan pelawak terkenal itu, dan melupakan insiden tersebut.
"Harapan saya yang paling dalam ialah dua lelaki yang bijak dan berkebolehan ini mempunyai peluang untuk berbaik, berbincang, serta berdamai," katanya dalam program tersebut pada Rabu.
Jada menambah: "Situasi dunia hari ini, kita memerlukan mereka berdua, dan kita semua sebenarnya memerlukan satu sama lain lebih daripada sebelumnya.
BACA: 'Akhirnya berbaloi' - Insiden Will Smith tampar Chris Rock cetus komen Presiden UFC!
"Sehingga itu, saya dan Smith akan terus melakukan apa yang telah kami lakukan selama 28 tahun yang lalu, dan meneruskan kehidupan bersama. Terima kasih kerana mendengar."
Dalam acara Oscar 2022 yang berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat pada Mac lalu, Smith yang memenangi anugerah Pelakon Filem Lelaki Terbaik hasil lakonan dalam filem King Richard secara tiba-tiba naik ke pentas dan bertindak menampar Chris.
Insiden yang ditonton seluruh dunia itu berlaku gara-gara Smith berang apabila Chris mempersenda Jada yang berimej botak.
Dalam insiden tersebut, Chris bergurau dengan mengatakan Jada, yang mengalami alopecia mungkin "berhasrat untuk menyertai G.I. Jane 2."
Difahamkan, Jada menghidap alopecia sejak 2018.
Alopecia adalah penyakit autoimun yang menyebabkan folikel rambut seseorang rosak dan mengakibatkan keguguran rambut pada tahap sangat teruk.
Sementara itu, dalam program sama, Jada, 50, turut mengundang seorang wanita yang kematian anak pada usia 12 tahun akibat bunuh diri selepas dibuli kerana menghidap alopecia.
"Ini amat penting untuk Red Table Talk mengupas isu alopecia.
"Dengan apa yang saya lalui dan insiden di Oscar, ribuan telah berhubung dengan saya mengenai kisah-kisah mereka.
"Saya menggunakan saat ini untuk memberi peluang kepada keluarga alopecia bercakap tentang keadaan penyakit ini, dan memberitahu orang ramai mengenai apa sebenarnya alopecia," ujarnya.
#Will Smith #Chris Rock #jada pinket #insiden oscars
;