Berapa agaknya sasaran kutipan Misteri Dilaila? Syafiq ada jawapannya...

Fauzi Zin
Februari 23, 2019 11:09 MYT
Syafiq Yusof tidak mensasarkan sebarang kutipan filem, hanya mengharapkan penonton terhibur dengan filem terbaharunya - Twitter Misteri Dilaila
Tiada sasaran jumlah kutipan filem. Sebaliknya, hanya mengharapkan penonton betul-betul terhibur.
Itu reaksi, pengarah filem Misteri Dilaila, Syafiq Yusof ketika ditanya mengenai perkembangan sambutan filem arahannya yang kini memasuki hari ketiga tayangan di pawagam di seluruh negara.
“Kita (Skop Production) tidak pernah letak berapa jumlah kutipan. Itu semunya di tangan Allah.
“Saya harap orang tengok ramai-ramai dan enjoy, itu goal (matlamat) saya lah. Supaya orang terhibur menonton filem ini.,” katanya ketika dihubungi di Astro Awani.
Filem terbitan Skop Production dan Astro Shaw ini dibarisi pelakon seperti Zul Arrifin , Rosyam Nor, Namron, Elizebeth Tan, Sasqia Dahuri dan Mas Khan.
Tahun lalu menyaksikan beberapa filem tempatan mencatatkan kutipan box office memberangsangkan dengan kutipan lebih RM30 juta.
Antaranya, Munafik 2 dengan kutipan tertinggi RM48juta, Hantu Kak Limah 3 (RM36 juta) dan PASKAL (RM30 juta).
Misteri Dilaila yang sarat dengan dengan 'plot twist' ini mengisahkan pasangan suami isteri, Jefri (Zul Ariffin) dan Dilaila (Elizabeth), yang bercuti di sebuah banglo di Bukit Fraser diganggu kejadian aneh.
“Kalau kita tengok filem Misteri Dilaila ini banyak bermain teka teki minda, penonton kena cari, bukan sekadar tengok.
“Di instgram saya letak clue (petunjuk) untuk merungkai Misteri Dilaila itu,” ujarnya lagi.
Misteri Dilaila kini ditayangkan di 131 pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.
#filem #Misteri #Misteri Dilaila #Syafiq Yusof
;