"Berakhir sudah pengawasan kami" - Kata penghargaan pelakon Game of Thrones

Nailah Huda
Mei 20, 2019 10:56 MYT
Gambar para pelakon Game of Thrones yang dikongsi Emilia Clarke, pelakon bagi watak Daenerys Targaryen menerusi Instagram. - Instagram/emilia_clarke.
Sempena episod terakhir Game of Thrones (GoT) yang ditayangkan hari ini, para pelakon siri televisyen fantasi itu berkongsi gambar di sebalik tabir di media sosial.
Mereka turut meluahkan kata-kata penghargaan bagi para peminat atas sokongan mereka selama lapan musim yang bermula sejak 2011.
Antara yang berkongsi gambar termasuk pelakon British Emilia Clarke, atau lebih dikenali sebagai wataknya Daenerys Targaryen atau Khaleesi.
Kata Mother of Dragons itu, siri televisyen tersebut telah bantu membentuk dirinya sebagai wanita, pelakon serta sebagai manusia.
“Saya hanya ingin ayah saya lihat betapa jauh kami telah berjaya menerusi cerita ini,” kata Emilia dalam satu muat naik di Instagram.
Tambah Emilia, “Saya telah berpanasan dalam kemarakan api naga, menitiskan air mata bagi mereka yang telah meninggal keluarga kami, dan memerah otak untuk membawa watak Khaleesi dan kata-kata bijak serta aksinya dengan sebaik mungkin.
Without you there is no us. And now our watch has ended (pengawasan kami telah berakhir),” akhiri pelakon tersebut dalam ucapannya.
Dalam satu gambar yang dimuat naik oleh Gwendoline Christie yang melakonkan watak Brienne of Tarth, pelakon itu dilihat dengan wajah terkejut manakala Kit Harrington yang dikenali sebagai Jon Snow turut kelihatan cemas.
“Ini reaksi kami sewaktu diberitahu pengakhiran Game of Thrones,” gurau Gwendoline yang mungkin memberi bayangan kepada kesimpulan mengejutkan pada episod terakhir.
Selain itu, pelakon Pedro Pascal yang melakonkan watak Oberyn Martell dan turut dikenali untuk wataknya dalam siri televisyen Narcos, berkongsi foto dia bersama watak Jaime Lannister yang dilakonkan oleh Nikolaj Coster-Waldau.
Pedro meninggalkan siri tersebut pada musim ke-lapan.
Pedro turut berkongsi gambar Sophie Turner, atau dikenali sebagai Sansa Stark, sewaktu dia tidur di set ketika menunggu sesi penggambaran.
Ini pula mencuit hati peminat GoT, apabila Kristofer Hivju (pelakon watak Tormund Giantsbane) berkongsi gambar selfie bersama Gwendoline serta isterinya.
Kata Kristofer, beliau berasa amat teruja berada antara cinta hati ‘onscreen’ dan ‘offscreen’.
Definitely a win win situation,” kata pelakon tersebut yang berasal dari Norway.
Episod terakhir Game of Thrones ditayangkan menerusi saluran HBO (411) dan HBO HD (431) pada pukul 9 pagi waktu tempatan, iaitu pada masa sama siaran perdana disiarkan di seluruh dunia.
Bagi mereka yang terlepas, episod terakhir siri itu akan ditayangkan lagi pada jam 10 malam ini.
Jika anda tiada Astro, anda boleh langgani Games of Thrones Pass di NJOI NOW dengan maklumat lanjut boleh diperolehi menerusi www.astro.com.my/hbogameofthrones.
#Arya Stark #Cersei #Daenerys Targaryen #Game of Thrones #GoT #HBO #Jon Snow #Lannister #Sansa Stark
;