“Belum pernah saya jumpa orang sebaik Jay Jay” - Hattan

Faida Rahim
Ogos 5, 2024 05:03 MYT
Kata Hattan, Allahyarham Jay Jay merupakan seorang seniman yang hebat dan berperibadi mulia.
PETALING JAYA: “Dalam hidup, saya belum pernah jumpa orang yang sebaik Allahyarham Jay Jay. Keperibadiannya amat saya kagumi.”
Demikian penyanyi terkenal, Datuk Hattan menggambarkan keperibadian rakan seperjuangan yang juga seniman terkenal, Allahyarham Jay Jay yang amat dihormatinya.
Keluhuran peribadi Jay Jay, kata penyanyi Rendang Tak Berbuah itu, wajar menjadi contoh.
“Allahyarham sangat hebat, beliau bukan sahaja seorang penyanyi tetapi juga pemain bass, komposer, penata muzik dan bukan sedikit album yang diterbitkan beliau berjaya antaranya album Datuk Nash dan ramai lagi.
“Beliau memang baik, saya tak pernah jumpa orang baik macam beliau… sangat baik. Saya memang minat beliau dari dulu, masa zaman talentime, saya nyanyi lagu Carefree saja. Saya tidak suka nyanyi (lagu) Rindu Bayangan (sebaliknya), saya lebih suka lagu Dendangan Anak Tani.
“(Pemergian Jay Jay) satu kehilangan besar,” ujar Hattan yang ditemui pada pengebumian jenazah Jay Jay di Tanah Perkuburan Bukit Tandang PJS5, di sini, hari ini.
Turut terkesan dengan pemergian Jay Jay ialah penyanyi Rozita Rohaizad yang juga anak kepada seniwati Allahyarham Seniwati Mariani.
“Kami berdua adalah anak seni yang menyanyi di hotel, lounge. Kami rapat sejak tahun 80 an. Beliau dengan Carefree, saya bergerak solo.
“Jay Jay memang hebat, dengan hanya pegang gitar sahaja, beliau mampu beraksi dengan cemerlang di pentas seorang diri.
“Beliau bagus di situ. Penghibur seperti beliau bila sudah tiada, kehilangan itu amat dirasai,” kata Rozita.
Allahyarham Jay Jay selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang PJS5 pada jam 11 pagi.
Jay Jay atau nama sebenar Mohd Fauzi Darus meninggal dunia pada usia 67 tahun di Hospital Thomson, Kota Damansara, di sini, pada jam 9.27 malam tadi disebabkan kegagalan fungsi pelbagai organ dalaman.
Mei lalu, Allahyarham Jay Jay dilapor menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami serangan jantung ringan dan sesak nafas.
#Jay Jay #Jay Jay meninggal dunia #Hattan #rindu bayangan