Bella Dally kini bergelar tunangan Arif
Asyraf Roslan
Januari 16, 2019 11:16 MYT
Januari 16, 2019 11:16 MYT
PELAKON Bella Dally bakal bergelar isteri sekali lagi selepas dia mengikat tali pertunangan bersama jejaka pilihan hatinya yang hanya dikenali sebagai Arif, 34.
Bella, 28, yang bakatnya di cungkil melalui satu program reality pencarian lakonan berkata, keputusan bertunang di buat selepas lima bulan berkawan dan saling mengenal hati budi.
Tambahnya, mereka mengenali antara satu sama lain melalui kenalan sepupu dan beberapa rakan lain .
“Arif adalah kenalan sepupu dan beberapa rakan lain. Apabila sering berjumpa beramai-ramai, kami jadi rapat dan cinta pun berputik,” katanya.
Menurut laporan portal Harian Metro, majlis pertunangan itu diadakan secara tertutup dengan hanya dihadiri oleh keluarga kedua belah pihak serta kenalan rapat sahaja.
Berita gembira itu dikongsi Bella di Instagram peribadinya.
Bekas isteri aktor Nazim Othman itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua di atas doa dan juga sokongan kepadanya selama ini.
Dalam masa sama Bella berkata, buat masa sekarang dia belum bersedia untuk berkongsi lebih lanjut mengenai hubungannya itu kerana masih dalam fasa pertunangan.
Majlis pertunangan telah dijalankan di kediamannya di Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu.
Sebelum bergelar tunangan Arif, Bella pernah mendirikan rumah tangga dengan Nazim pada 10 September 2016. Bagaimanapun, pasangan berkenaan bercerai selepas dua tahun bergelar suami isteri akibat tiada persefahaman.