Bella Astillah mohon semua pihak henti buat andaian mengenai rumah tangganya

Gempak
Jun 3, 2024 23:55 MYT
Mahu menjalani kehidupan dengan tenang, Bella turut memohon agar semua pihak berhenti membuat andaian sendiri mengenai hubungan dia dengan Aliff. - Gambar Gempak
Pelakon dan penyanyi Bella Astillah meluahkan rasa kesal terhadap artikel yang dikeluarkan segelintir blogger hiburan yang menggunakan tajuk seakan-akan memberi bayangan dia dan suaminya, Aliff Aziz sudah berbaik.
Tak nak ditemu bual
Bella menerusi Instastory miliknya berkata dia memilih untuk tidak ditemu bual oleh para media kerana tidak mahu kenyataannya diputar belit oleh pihak lain seperti artikel yang tersebar pada Isnin.
“Izinkan saya perbetulkan apa yang disiarkan hari ini di beberapa media. Sebab itu, saya sudah beberapa kali menolak untuk ditemu bual sebab pada akhirnya akan terjadi berita sebegini.
“Jawab salah, tak jawab lagilah dikata sombong. Bila wakil saya jawab, macam inilah jadinya. Semua fakta dipusing. Saya hormat kerja media, tapi tolong hormat juga empunya badan,” katanya.
Pada perkongsian yang sama, Bella menegaskan tidak semestinya dirinya berdiam diri bermaksud segala spekulasi mengenai rumah tangganya adalah benar.
Mahu hidup tenang
Mahu menjalani kehidupan dengan tenang, Bella turut memohon agar semua pihak berhenti membuat andaian sendiri mengenai hubungan dia dengan Aliff.
“Tak bermakna bila saya tak nak jawab, sangkaan anda semua itu betul. Saya minta tolong untuk stop buat tanggapan sendiri, dengar gosip-gosip dan akhirnya netizen yang tak tahu menahu yang hanya baca headline sahaja terus mengecam Bella.
“Saya sudah lama move on dan cuba hidup tenang. Sekali lagi, saya minta maaf, saya hormat kerja rakan media,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan Bella memilih untuk mengunci mulut mengenai dakwaan dia sudah berbaik dengan Aliff Aziz sekali gus membiarkan persoalan terbiar tanpa jawapan.
Menerusi laporan tersebut, pengurus Bella, Umi Atiqah berkata, segala dakwaan akan dijawab tuan badan selepas kes mahkamah antara Bella dan suami selesai.
Difahamkan juga kes mahkamah antara Bella dan Aliff ditunda daripada 4 Jun ke 13 Jun, timbul dakwaan yang mengatakan pelakon drama Aku Tanpa Cintamu itu kembali berbaik dengan suaminya.
Kontroversi rumah tangga Aliff dan Bella tercetus apabila penyanyi kelahiran Singapura itu ditangkap khalwat bersama pelakon Ruhainies di sebuah kondominium pada 9 Mac lalu.
Bella kemudian memfailkan cerai terhadap di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 13 Mac lalu.
Lebih panas apabila muncul pula seorang wanita Singapura, Sarah Yasmine yang mengaku menjalin cinta dengan Aliff sejak Januari lalu. - Gempak
#Bella Astillah #Aliff Aziz #Ruhainies #Sarah Yasmine
;