Bella Astillah failkan cerai terhadap Aliff Aziz

Gempak
Mac 13, 2024 15:32 MYT
Bella memberitahu dia nekad untuk berpisah kerana sudah memberi banyak peluang kepada suaminya. - Gambar/ Gempak
KUALA LUMPUR: Pelakon Bella Astillah nekad memfailkan perceraian terhadap suaminya, aktor Aliff Aziz.
Peguam yang mewakili Bella, Azmi Mohd. Rais memaklumkan aktres itu telah memfailkan perceraian terhadap aktor tersebut pada Isnin.
“Kes hari ini adalah tarikh sebutan pertama perceraian. Pihak kami failkan cerai pada Isnin secara ekspres. Sebelum ini Aliff bersetuju untuk cerai dan datang, namun dia maklumkan ada penggambaran. Dia minta tarikh seterusnya.
“Ikut prosedur pada tarikh akan datang, Aliff perlu hadir dan menyatakan pendirian dia sama ada mahu cerai atau tidak. Jika tidak mahkamah akan tentukan langkah seterusnya iaitu Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan Hakam.
Azmi berkata demikian ketika ditemui pada prosiding pertama kes perceraian Bella dan Aliff yang berlangsung di Mahkamah Syariah Wilayah Perseketuan, Kuala Lumpur pada Rabu.
Sebelum ini, kecoh apabila pelakon dan penyanyi Aliff Aziz didakwa terbabit dalam kes khalwat bersama aktres, Ruhainies di sebuah kondominium mewah di ibu negara.
Tangkapan yang dibuat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) difahamkan berdasarkan maklumat orang awam.
Sementara itu, Bella berkata perpisahan adalah jalan terbaik untuk mereka berdua.
Mengharapkan urusan perceraian dipermudah dan dipercepatkan, Bella memberitahu dia nekad untuk berpisah kerana sudah memberi banyak peluang kepada suaminya.
“Saya rasa dengan memilih jalan masing-masing itu merupakan jalan terbaik bagi saya dan juga Aliff. Saya cuma mahu dipermudahkan urusan. Lagi-lagi bulan Ramadan ini saya mahukan ia berjalan dengan lancar.
“Saya nekad kerana banyak ruang dan peluang sudah diberikan. Bagaimanapun Aliff tetap ayah kepada dua anak Bella. Tak semestinya cinta itu masing-masing harus memiliki. Kita doakan dari jauh,” ujarnya.
Untuk rekod, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 namun pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh idah. - Gempak
#Bella Astillah #Aliff Aziz #kes cerai #kes khalwat
;