Belasungkawa: Titian perjalanan Mael XPDC, berpulang malam Jumaat di bulan Syawal

Global MMA News
April 28, 2023 14:19 MYT
Mael yang meninggalkan lima anak disahkan meninggal dunia kerana sesak nafas. - Gempak
BUAT para penggemar kumpulan rock XPDC, berita yang diterima sekitar pukul 9.00 malam tadi sangat mengejutkan.
Mael XPDC atau nama sebenarnya, Syed Ismail Syed Ibrahim meninggal dunia. Mael yang merupakan vokalis kugiran XPDC yang ditubuhkan Allahyarham J.S Kevin yang juga banyak memberi sentuhan terhadap lagu kumpulan ini pada tahun 1989.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 55 tahun — boleh disifatkan terbilang agak muda sewaktu dalam perjalanan daripada Hospital Muar menuju Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor pada pukul 8.41 minit malam.
Mael yang meninggalkan lima anak disahkan meninggal dunia kerana sesak nafas.
Begitulah Titian Perjalanan kehidupan Mael yang berakhir di Hentian Ini pada bulan mulia Syawal. Lebih indah, Mael berpulang ke negeri abadi pada malam Jumaat. Meski meninggal dunia merupakan sebuah khabar duka, namun kepulangan vokalis ini dalam bulan Syawal dan di malam Jumaat sempat membuat banyak yang hidup berasa betapa bertuahnya Allahyarham.
Pada saat Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, di sini, sekitar pukul 10.55 pagi ini, khazanah seni yang ditinggalkannya sepanjang perjuangan tak mudah dalam belantika muzik tempatan terus dikenang.
Di laman sosial, ramai peminat Mael mengenang momen menonton persembahan XPDC sama ada dari zaman funfair sehingga ke konsert mega yang sentiasa membuat mereka puas hati.
XPDC adalah legenda. Sebuah kugiran rock yang sentiasa hidup dalam tiga dekad penubuhan mereka dan kekal melahirkan karya-karya dengan sentuhan magis berbisa.
Ada yang mempamerkan album dari zaman kaset kepada cakera padat (CD) selain banyak gambar kenangan bersama vokalis yang terkenal dengan sosok kecil tubuh dan rambut kerintingnya itu ikut sama tersenyum manis dalam rakaman yang dikongsikan.
Bagi segelintir media dan rakan PR yang pernah dan sering bekerjasama dengan beliau, Mael disifatkan sebagai sosok yang sangat lembut dan mudah tersenyum.
Mengenang riwayat XPDC sendiri, kumpulan ini juga digelar Metallica Malaysia. XPDC malah dibarisi oleh pemuzik hebat tanah air — meski silih berganti anggota, termasuk Mael juga pernah keluar dan diganti Ali.
Kugiran ini menjadi pujaan peminat lewat genre muzik yang dibawanya. Bukan sekadar rock tetapi XPDC sejak dulu memperkenalkan peminat dengan genre Heavy Metal, Trash, Glam Rock dan Hard Rock.
Namun istimewanya XPDC selain muzik mereka adalah lirik-lirik yang didendangkan.
Dibalut dalam genre rock tetapi liriknya banyak menyentuh tentang kehidupan, kerohanian dan keTuhanan yang sangat kental.
‘Seminit kita berlagu, Ada lagi waktu, Dengan ingatan tulus insan, Kita makhluk Tuhan, Kita dijadikan,’ - begitu sedikit lirik lagu Titian Perjalanan yang dirilis pada 1994 dan;
Di dalam kubur manapun, jasad aku ditanam, Aku, akulah jua, Kita laksanakan, mati hati yang damai, Di sana kejujuran - tembang hit Semangat Yang Hilang yang dirilis pada 1997 dari album Apa Nak Dikata.
Kepulangannya ke negeri abadi pasti sangat disayangkan, namun semua reda kerana pada akhirnya, kita semua juga akan bersemadi di tempat yang sama.
Al Fatihah buat Syed Ismail Syed Ibrahim, damailah anda di sana. -- Gempak
#Mael XPDC #meninggal dunia #Syed Ismail Syed Ibrahim #sesak nafas
;