Belasungkawa: Pengorbanan seorang Ridzuan Hashim; antara cinta dan kelangsungan hidup

Gempak
Mei 5, 2023 15:02 MYT
Allahyarham meminta anak lelakinya, Muhamad Dhanial hasil pernikahan dengan bekas isteri, pelakon dan hos Didie Alias merahsiakan penyakit itu kepada umum. - Gempak
BERITA berpulangnya aktor terkenal tanah air, Ridzuan Hashim pada Khamis sekitar pukul 1.57 tengah hari sangat mengejutkan peminat dan sesiapa sahaja yang pernah melihat kelibat pelakon ini di kaca televisyen mahupun layar lebar.
Sosok tubuh yang tegap dengan senyuman manis dari Allahyarham Ridzuan masing terbayang di mata. Malaysia kini kehilangan seorang lagi anak seni yang berwibawa dan berjiwa besar.
Untuk generasi masa kini, beliau amat sinonim dengan karakter King yang ditampilkan menerusi filem KL Gangster ataupun watak seorang lelaki berpangkat Datuk dalam kebanyakan drama lakonannya di kaca TV.
Namun untuk generasi yang membesar bersamanya pada sekitar akhir 80-an dan 90-an, Ridzuan lebih dikenali sebagai ‘sang pematah hati’ lewat lakonannya dalam filem-filem bergenre cinta.
Antara membesarkan nama seorang Ridzuan Hashim dalam dunia perfileman tempatan adalah Antara Dua Hati dan Hati Bukan Kristal pada awal pembabitannya sebagai seorang pelakon.
Bakat lakonan Ridzuan malah diiktiraf sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem ke-9 lewat filem Hati Bukan Kristal.
Bukan hanya yang terbaik, beliau yang berpulang ke negeri abadi pada usia 62 tahun juga pernah menerima pengiktirafan sebagai yang terpopular sepanjang penglibatannya dalam bidang seni.
Ratusan drama termasuk telemovie dan puluhan filem yang dijayakan sepanjang lebih 20 tahun mengabdikan diri sebagai anak seni membuktikan betapa kecintaannya terhadap bidang ini tidak pernah surut.
Bayangkan sehingga beberapa tahun lalu saat tahu dirinya mempunyai masalah sakit jantung, Allahyarham meminta anak lelakinya, Muhamad Dhanial hasil pernikahan dengan bekas isteri, pelakon dan hos Didie Alias merahsiakan penyakit itu kepada umum.
Alasan beliau yang memiliki lima cahayamata bersama Didie, beliau bimbang jika tidak menerima tawaran berlakon. Begitu besar pengorbanan yang dilakukan Allahyarham buat dunia seni dan kelangsungan hidupnya.
Begitu besar cintanya terhadap kerjaya yang ditekuni, sekali gus menjadi periuk nasi buatnya berhidup kini.
Namun janji Ilahi adalah sesuatu yang tidak dapat kita sebagai manusia bisa tebak.
Allahyarham diambil pulang oleh yang Esa selepas rebah sewaktu bersarapan di rumahnya di Bandar Tun Razak, di bulan mulia Syawal.
Saat artikel ini ditulis, Allahyarham telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Dusun Tua, Hulu Langat pada Khamis, tempat persemadiannya yang hakiki.
Semoga roh Allahyarham Ridzuan Hashim tenang di keabadian. Al Fatihah. -- Gempak
#Ridzuan Hashim #meninggal dunia #Didie Alias #KL Gangster
;