Bela beruang: Usah tambah dosa, kita tak tahu niat sebenar Pia - Ara Johari
Astro Awani
Jun 9, 2019 07:31 MYT
Jun 9, 2019 07:31 MYT
Penyanyi , Ara Johari berharap rakyat Malaysia berhenti membuat andaian tidak sepatutnya terhadap rakan artisnya, Zarith Sofia Yasin yang sebelum ini ditahan kerana menyimpan beruang matahari di kediamannya.
Ara yang turut terkena tempias apabila ada netizen yang mengaitkan namanya dengan isu berkenaan menjelaskan, sikap prihatin semua pihak tidak seharusnya sehingga menambah dosa.
Ia berikutan katanya, semua orang tidak tahu niat dan keadaan penyanyi yang turut dikenali sebagai Pia itu semasa menjumpai beruang itu.
"Kita mungkin tak tahu niat sebenar dia , atau mungkin kita tak tahu keadaan dia masa dia jumpa beruang tu . Ya, saya tahu rakyat Malaysia prihatin . Tapi jangan sampai benda tu buat dosa korang bertambah," katanya melalui status di laman Twitter.
Sebelum ini, Zarith ditahan di kondominumnya di Desa Pandan, Kuala Lumpur selepas pihak Perhilitan menerima aduan daripada jiran penyanyi itu yang menemui seekor beruang matahari di bahagian tingkap rumahnya.
Dia kemudiannya disoal siasat kerana menyimpan hidupan liar yang dilindungi tanpa kebenaran perhilitan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Bagaimanapun, dia kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin pada Jumaat.
Haiwan terbabit kini masih berada dalam jagaan dan pemantauan Perhilitan dan akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan, Sungkai.