Bekas Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono buat persembahan di Pestapora 2024

Gempak
Julai 5, 2024 12:19 MYT
SBY memang sangat dekat dengan dunia seni. Beliau malah sempat merakam dan memasarkan tiga album sewaktu menjadi Presiden RI untuk dua penggal iaitu dari tahun 2004 sehingga 2014. -Gempak
FESTIVAL muzik Pestapora akan kembali dengan edisi untuk tahun 2024. Pihak penganjur telah pun mengeluarkan barisan nama artis yang akan membuat persembahan pada Pestapora 2024.
Ada ramai penyanyi terkenal yang akan membuat persembahan, antaranya Tulus, Sal Priadi, King Nassar, Coklat, Ebiet G Ade, dan Boomerang.
Namun, di sebalik nama pemuzik-pemuzik terkenal yang akan beraksi pada 20 hingga 22 September 2024 nanti, ada satu nama yang menjadi bualan hangat peminat.
Pada poster yang disiarkan, tertera nama Susilo Bambang Yudhoyono atau lebih dikenali sebagai SBY.
Satu-satunya figura yang dikenali dengan nama Susilo Bambang Yudhoyono atau SBY adalah mantan Presiden Indonesia.
Dan persoalan yang bermain di fikiran peminat ternyata benar. SBY adalah sosok yang akan beraksi di Pestapora 2024.
Menerusi laporan Insertlive, ramai yang terkejut melihat SBY akan tampil sebagai pemuzik dan penyanyi kerana hanya tahu pekerjaan beliau sebagai mantan presiden.
Ironi, SBY memang sangat dekat dengan dunia seni. Beliau malah sempat merakam dan memasarkan tiga album sewaktu menjadi Presiden RI untuk dua penggal iaitu dari tahun 2004 sehingga 2014.
SBY pernah memasarkan album dengan 10 lagu yang bertema cinta dan religi berjudul Rinduku Padamu. Lagu-lagu dalam album ini dibawakan oleh penyanyi-penyanyi papan atas Indonesia.
Album kedua SBY adalah Evolusi yang dirakam bersama Yockie Suryoprayogo pada 2009. Selanjutnya, pada 2010 SBY memasarkan album ketiga berjudul Ku Yakin Sampai Di Sana. -Gempak
#Susilo Bambang Yudhoyono #mantan presiden Indonesia #sby #Pestapora 2024 #buat persembahan
;