Bekas pemain dram Earth, Wind & Fire Fred White meninggal dunia

Astro Awani
Januari 3, 2023 12:00 MYT
Fred mula bermain dram sejak berusia sembilan tahun dan muncul dalam konsert Donny Hathaway pada usia 16 tahun. - Foto Instagram/@verdine_white
BEKAS pemain dram kumpulan Earth, Wind & Fire, Fred White dilaporkan meninggal dunia pada usia 67 tahun.
Berita kematiannya disahkan oleh adiknya Verdine White dalam catatan terbaharu di akaun Instagram miliknya pada Isnin.
Namun punca kematian tidak didedahkan.
"Kami sangat bersedih dengan pemergian seorang ahli keluarga kami yang sangat berbakat iaitu Frederick Eugene 'Freddie' White," tulisnya.
Fred merupakan antara ahli terawal menyertai kumpulan itu yang ditubuhkan oleh abangnya, Maurice, iaitu pada tahun 1974.
Antara artis terkenal yang mengucapkan takziah atas pemergian Fred adalah Lenny Kravitz yang menggelarnya sebagai "raja sebenar" dan menyifatkan dia sangat beruntung dapat mengenali mendiang.
Fred mula bermain dram sejak berusia sembilan tahun dan muncul dalam konsert Donny Hathaway pada usia 16 tahun.
Antara lagu terkenal kumpulan Earth, Wind & Fire termasuk 'September' dan 'Boogie Wonderland'.
Pada 1975, kumpulan itu terus menduduki tangga teratas carta dengan lagu 'That's the Way of the World'.
Earth, Wind & Fire terus menjadi antara kumpulan tersohor dalam arena muzik dengan lebih 90 juta album terjual di seluruh dunia.
Sejak penubuhannya, kumpulan tersebut berjaya merangkul enam anugerah Grammy dan empat Anugerah Muzik Amerika selain menyertai Rock and Roll Hall of Fame pada tahun 2000 dan menerima sebuah bintang pada Hollywood Walk fo Fame.
#Earth Wind & Fire #Fred White #meninggal dunia #pemain dram
;