Bekas gitaris Olan tak kisah kerja kutip sampah diperlekeh
Sinar Harian
Januari 20, 2024 06:30 MYT
Januari 20, 2024 06:30 MYT
BIARPUN pernah diperlekehkan sebagai tukang kutip sampah, namun bekas pemain gitar kedua kumpulan rock Olan yang terkenal sekitar 1990-an, Zulkifli Abdul Hamid, 57, tidak rasa terhina dengan kerjaya itu.
Zulkifli yang dikenali sebagai Azrul dan pernah popular sebagai gitaris lagu Cinta Bandar Tasik Selatan tidak menyangka penghijrahannya ke Melaka menyertai kumpulan Lela di pada tahun 90-an akhirnya membuatkan dia menceburi kerja pembersihan di SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) pada tahun 2005.
Menurutnya, meskipun pekerjaan itu tidak memberikan pendapatan lumayan berbanding bergelar artis, namun dia bahagia menyertai syarikat itu dan tahun ini telah 19 tahun lalu berkhidmat di situ dengan pelbagai kerja dilakukan termasuk mengutip sampah sarap longkang, medan selera dan kawasan perumahan.
Sekarang saya diamanahkan menjaga stor mesin rumput dan untuk teruskan kehidupan kita tak boleh memilih pekerjaan.
"Adakalanya pernah kerinduan untuk memetik gitar, namun kudrat saya tidak seperti dahulu lebih-lebih lagi selepas menghidap sakit saraf sejak tiga tahun lalu hingga menyebabkan pergerakan jari agak terbatas," katanya ketika ditemui di pejabat SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment), di Krubong, di Cheng, di sini, pada Sabtu.
Dia yang telah mendirikan rumah tangga mengakui terharu apabila lagu lama masih diminati malah generasi muda juga mendengarnya.
Ujarnya, meskipun telah lama meninggalkan dunia seni, namun kenangan berada dalam bidang tersebut tidak akan dilupakan termasuk pengalaman membuat persembahan di 'fun fair' yang mendapat bayaran lumayan.
"Dulu royalti tidak seperti sekarang, jadi nasib ada fun fair dan kenangan yang paling saya tak boleh lupakan kumpulan kami berjaya ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu 1991.
"Walaupun tak menang namun lagu Cinta Bandar Tasik Selatan telah menaikkan nama kami sebaris dengan kumpulan terkenal lain seperti Laksamana, Mega dan Damasutra, Blackrose," katanya lagi.
Dia yang berasal dari Ipoh, Perak bersyukur mempunyai pekerjaan tetap, dengan pendapatan sebagai kerja pembersihan dia juga dapat menunaikan umrah pada Februari tahun lalu.
"Walaupun mungkin ada tak suka saya bekerja kutip sampah tapi reda Allah yang kita cari.
"Sebenarnya banyak pekerjaan yang boleh kita lakukan asalkan kita mahu berusaha membantu diri sendiri," katanya yang berharap semoga bekas anggota kumpulan itu diberikan kesihatan baik.