Bekas anggota Spice Girls terima ijazah kehormat

Agensi
November 26, 2022 21:29 MYT
Halliwell yang kini bergelar Dr Halliwell-Horner, menerima ijazah itu pada majlis graduasi Universiti Sheffield Hallam, Selasa lalu. - Twitter @HallamUniNews
BEKAS anggota Spice Girls, Geri Halliwell-Horner menekankan betapa pendidikan adalah sesuatu yang memiliki kuasa yang sangat besar, ketika menerima ijazah kehormatnya.
Terkenal dengan panggilan Ginger Spice, dia yang kini bergelar 'Dr Halliwell-Horner', menerima ijazah itu pada majlis graduasi Universiti Sheffield Hallam, Selasa lalu.
"Saya suka belajar, jadi satu perasaan yang hebat berada di sini," katanya ketika berucap di hadapan ratusan graduan.
Universiti berkenaan memaklumkan pemilihan Halliwell untuk menerima ijazah itu adalah sebagai mengiktiraf komitmennya dalam menjadi inspirasi kepada kanak-kanak dan golongan muda, memperjuangkan hak wanita dan kecemerlangan dalam industri muzik sejak 25 tahun lalu.
"Saya rasa Universiti Sheffield Hallam adalah sebuah institusi yang menakjubkan. Ia sangat pelbagai dan inklusif," katanya.
“Apabila mereka menawarkan saya doktor kehormat ini, saya berbesar hati dan berterima kasih.
Halliwell, 50, juga menjelaskan biarpun dia tidak melanjutkan pelajaran ke universiti tetapi dia sangat gemar subjek kesusasteraan Inggeris semasa di peringkat A-Level, sebelum memilih "memulakan pengembaraan yang berbeza bersama Spice Girls".
Penyanyi, penulis lagu, pengarang buku dan pelakon itu menempa nama sekitar era 1990-an bersama Spice Girls, dengan jualan album melebihi 100 juta unit di seluruh dunia.
Dia bagaimanapun mengundur diri dari Spice Girls pada 1999 untuk memulakan kerjaya solo.
#Geri Halliwell #Spice Girls #pendidikan #Universiti Sheffield Hallam
;