Bekas ahli gusti WWE Chyna dijumpai mati
Syafique Shuib
April 21, 2016 21:36 MYT
April 21, 2016 21:36 MYT
BEKAS ahli gusti WWE dan bintang realiti TV, Chyna, dijumpai mati di rumahnya di Los Angeles pada Rabu.
Berita itu diumumkan menerusi akaun Facebooknya.
"Dengan rasa amat sedih, dimaklumkan bahawa hari ini kita telah kehilangan seorang ikon dan wira kehidupan yang sebenar. Joanie Laurer atau lebih dikenali sebagai Chyna, telah meninggal dunia.
“Dia akan selama-lamanya terus menjadi kenangan dalam hati jutaan peminat dan kita semua yang menyayanginya,” kata kenyataan itu di Facebook.
Punca rasmi kematian personaliti berusia 45 tahun itu tidak diketahui.
Hashtag #RIPChyna turut trending di Twitter.
Ketua penjenamaan WWE Stephanie McMahon berkata Chyna merupakan antara perintis di dalam industri ini.
Beberapa personaliti dalam arena gusti dan para peminatnya turut meluahkan kesedihan mereka.
Chyna telah muncul dalam beberapa rancangan TV termasuk 'Surreal Life', 'Celebrity Rehab', '3rd Rock from the Sun' dan 'The Nick Cannon Show'.