#BeforeWeBegininKL: Demi Eric Nam, peminat belanja hampir RM10,000 jelajah Asia

Isabelle Leong
Januari 18, 2020 11:03 MYT
NamNation yang teruja untuk menyaksikan konsert Eric Nam "Before We Begin". - Astro AWANI/ISABELLE LEONG
Percaya atau tidak, peminat penyanyi sensasi Korea Selatan, Eric Nam, sanggup membelanjakan hampir RM10,000 demi bertemu dengan idola kegemaran mereka!
Bagi NamNation (nama fandom Eric) tegar, Noradila Nordin, dia sanggup mengikut penyanyi itu menjelajah Asia sempena konsertnya 'Before We Begin'.
Noradila atau lebih mesra disapa Adila, 31 tahun, berkata dia sudah berkunjung ke Singapura dan Bangkok sebelum ini.
“Begitu pun, saya masih berasa teruja untuk menyaksikan persembahan Eric, (kerana) di setiap lokasi yang berbeza, Eric akan ubah konsepnya.
"Sebagai contoh, di Singapura, penampilannya ialah seksi, manakala di Bangkok pula, beliau lebih mesra,” katanya ketika ditemui sebelum berlangsungnya konsert tersebut di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Bagaimanapun, dia mengakui terpaksa membatalkan hasratnya untuk menghadiri konsert tersebut di Jakarta, Indonesia.
“Saya sudah membeli tiket untuk konsert di Jakarta. Bagaimanapun, saya terpaksa membatalkan hasrat ke situ kerana berlakunya kejadian banjir di situ.
“Walaupun keberatan, saya perlu berbuat demikian demi keselamatan saya,” jelas Adila yang mengaku meminati Eric sejak 2010.
Tambahnya, perbelanjaannya yang memakan kos hampir RM10,000 itu disifatkan berbaloi.
“Saya rasa berbaloi kerana saya dapat berkunjung ke tiga negara.
“Di setiap negara, saya bukan sahaja menghadiri konsert, tetapi juga bersiar-siar di situ. Oleh itu, ia berbaloi,” ujarnya.
Adila yang merupakan pensyarah jurusan Pengajian Pengkomputeraan di sebuah universiti tempatan berkata, tidak menjadi masalah baginya untuk mengambil cuti dan melancong.
Ditanya sama ada akan mengikut Eric ke konsertnya di Amerika Syarikat tidak lama lagi, Adila berkata tidak akan berbuat demikian.
“Sudah banyak berbelanja. Cukup-cukuplah dahulu. Mungkin dalam masa lima tahun lagi saya akan pergi,” katanya.
NamNation Korea Selatan sanggup berkampung seawal 6 pagi
Turut menarik perhatian kru Astro AWANI yang membuat tinjauan di The Bee, Publika, tiga peminat yang datang dari Korea Selatan khusus untuk menghadiri konsert Eric.
Soo Kyoung, Enfei dan EunNa nyata sungguh teruja sehingga sanggup berkampung seawal 6 pagi di hadapan lokasi konsert sedangkan ia hanya akan berlangsung pada jam 8 malam.
“Hotel kami berdekatan dengan The Bee, oleh itu kami datang lebih awal iaitu 6 pagi. Saya ingin lihat Eric dengan lebih dekat,” kata Soo Kyoung, 28 tahun.
Katanya lagi, dia gembira dapat menyaksikan persembahan Eric kerana ia memberi kekuatan kepadanya.
“Selamat menamatkan konsert, Eric. Saya berharap Eric akan mengadakan lebih aktiviti di Korea Selatan,” katanya dalam mesej ringkas yang ditujukan kepada Eric.
Enfei, 26 tahun, pula berkata beliau suka segalanya tentang Eric.
“Saya sangat suka Eric. Dia pandai menyanyi, sungguh kacak, ‘cool’ dan sempurna. Setiap kali saya tengok persembahan Eric, saya berasa sangat bahagia.
“Saranghae, Eric oppa. Jumpa di Korea!” kata Enfei dengan teruja.
EunNa, 30 tahun, juga bersetuju dengan Enfei dan berkata dia menggemari Eric kerana kemahirannya menari.
“Saya paling gembira melihat Eric menari. Biarpun perlu menunggu sejak awal, saya tidak berasa letih.
“Saranghae, Eric!” katanya.
Hasil kegigihan mereka bersengkang mata, ketiga-tiga rakan tersebut merupakan pemegang tiket VIP dan menjadi penonton pertama yang memasuki The Bee.
Untuk rekod, pemegang tiket VIP berpeluang untuk mendapat tiket Super Early Entry Standing, pertemuan eksklusif dan sesi bergambar serta satu barangan eksklusif yang telah ditandatangani oleh Eric.

NamNation Malaysia! Where yall at?! Im at The Bee, Publika for @ericnamofficial s #BeforeWeBegininKL ! Some concert-goers arrived as early as 6AM! @501Awani #EricNaminKL pic.twitter.com/bhSDjZreB0

— Isabelle Leong (@IsabelleAWANI) January 17, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Malaysia menjadi lokasi terakhir dalam konsert jelajah Asia Eric bagi mempromosikan album Bahasa Inggerisnya yang pertama “Before We Begin”.
Konsert jelajah Asia “Before We Begin” turut melibatkan lima lokasi lain iaitu Taipei, Manila, Singapura, Jakarta dan Bangkok.
#Before We Begin #Eric Nam #konsert jelajah #Korea Selatan #NamNation #peminat
;