Beego tidak setuju cerai, Linda Hashim akan berjuang lepaskan diri

Gempak
Mac 6, 2025 17:32 MYT
Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, berkata dia memutuskan untuk memilih ibunya sebagai wakil buatnya. - Gempak
KES permohonan cerai pasangan pelakon, Beego dan Linda Hashim akan diteruskan dengan pelantikan Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) pada 23 April depan.
Perkara yang diputuskan di hadapan hakim, Wan Mohd Najib Wan Hamat itu dikongsikan oleh peguam syarie mewakili Beego iaitu Muhammad Akmal Amzan ketika ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada sebutan kedua permohonan perceraiannya, pada Khamis pagi.
“Tarikh akan datang adalah untuk lantikan wakil JKP dan kami sudah putuskan untuk melantik ahli keluarga dan pihak sana juga akan melantik ahli keluarga,” katanya kepada Gempak.
Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, berkata dia memutuskan untuk memilih ibunya sebagai wakil buatnya.
“Hari ini adalah sebutan kedua untuk kes permohonan cerai kami, dan pada sebutan pertama sebelum ini, saya tiada. Jadi hari ini apabila mahkamah bertanya sama ada saya setuju atau tidak dengan permohonan isteri saya untuk bercerai, saya cakap saya tidak bersetuju.
“Saya akan melantik orang yang paling dekat dengan saya iaitu emak saya sebab seluruh senario dan situasi, emak saya tahu. Cuma lantikan ini untuk yang baik-baik saja,” jelasnya.
Sementara itu, peguam syarie mewakili Linda Nurul Fadzilah Kamaluddin berkata anak guam tetap bertegas untuk meneruskan perceraian.
“Hari ini adalah sebutan kedua, sebutan pertama adalah pada 6 Februari lalu dan hari ini defendan (Beego) hadir bersama peguamnya.
“Hari ini kami menyatakan pendirian anak guam saya, Linda yang mahu meneruskan perceraian ini di bawah Seksyen 47 namun pihak defendan tidak bersetuju meneruskan dan tidak ingin untuk menceraikan Linda hari ini, jadi kes hari ini ditangguhkan selepas raya,” ujarnya.
Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 41, berkata tiada lagi rundingan yang mahu dilakukan seperti yang diminta oleh pihak Beego.
“Saya akan bawa salah seorang dari keluarga saya, yang memang tahu rumah tangga kami memang sudah lama bermasalah.
“Sebenarnya saya sudah tahu memang susah dia nak melepaskan saya, cuma saya ikut saja prosedur seterusnya, saya akan berjuang sampai ke habis sebab saya sudah tak boleh.
“Ini sudah kali ketiga, kali pertama dan kedua saya sudah puas berunding. Saya sudah bertahun bersabar, setakat bersabar dalam beberapa bulan di sini (mahkamah) saya okay sahaja, sebab saya tahu proses di mahkamah bagaimana dan sebelum saya failkan pun sudah berbulan saya memikirkannya,” katanya.
Terdahulu, Linda memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, awal Januari lalu atas alasan sudah tiada persefahaman.
Pada Mei 2023, Linda dan Beego hadir ke mahkamah sama bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.
Ia berikutan mereka mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 selepas bercerai pada 27 Mac tahun sama.
Linda pernah mendedahkan, mereka pernah bercerai buat kali kedua hanya selepas beberapa bulan kembali rujuk pada April 2023.
Bagaimanapun, mereka tidak mendedahkan perkara itu kerana bimbang dianggap mempermainkan institusi perkahwinan.
Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6. -- Gempak
#Beego #permohonan cerai #Linda Hashim #pelantikan Jawatan Kuasa Pendamai
;