BCL belum terbuka hati untuk bernikah lagi

Astro Awani
Disember 23, 2020 13:30 MYT
Seperti wanita lain, Bunga Citra Lestari berkata, bukan mudah untuk dia menerima kenyataan bahawa suaminya, Ashraf Sinclair terlebih dahulu dijemput oleh Allah.
JAKARTA: Selepas kematian suami tercinta, Ashraf Sinclair pada Februari lalu, penyanyi tersohor Indonesia, Bunga Citra Lestari belum terfikir untuk mengakhiri kehidupan sebagai ibu tunggal.
Dalam jawapan ringkasnya, Bunga Citra Lestari atau lebih mesra disapa BCL berkata, buat masa sekarang keinginan untuk mencari pengganti Ashraf belum ada.
"Sampai sekarang? Belum," kata penyanyi itu ringkas sambil menggeleng kepala menjawab pertanyaan penyanyi Maia Estianty dalam temu bual untuk program AL El Dul Channel di saluran YouTube.
BCL, 37, kehilangan Ashraf, 40, yang meninggal dunia pada awal pagi 18 Februari lalu akibat serangan jantung.
Allahyarham Ashraf atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohammed Sinclair lahir di London, England pada 18 September 1979.
Ashraf merupakan selebriti yang membina nama dalam industri hiburan Malaysia sebagai pelakon dan pengacara.
Dia dan BCL bernikah pada 2008 serta dikurniakan seorang anak lelaku, Noah Aidan Sinclair yang kini berusia 10 tahun.
Dalam wawancara itu, BCL pertama kali berkongsi mengenai kehidupannya selepas kehilangan lelaki yang amat dicintainya itu.
Seperti wanita lain, penyanyi yang sangat terkenal dengan lagu Cinta Sejati itu berkata, bukan mudah untuk dia menerima kenyataan Ashraf terlebih dahulu meninggalkannya menyahut panggilan Ilahi.
Kata BCL, dia mengambil masa lebih enam bulan untuk kembali bangkit daripada kedukaan itu serta memberi fokus pada kerjaya seni.
Air mata, ujar BCL, menjadi sahabat karibnya ketika melalui proses memulihkan diri daripada kesedihan yang sukar diterjemah dengan kata-kata.
“Setiap hari saya menangis sehinggalah kembali rasa berfungsi. Selepas lima atau enam bulan, baru saya melalukan sesuatu, kembali bekerja,” katanya lagi.
BACA: Ashraf Sinclair meninggal dunia
BACA: "Hidup ini fragile" - Nasihat Ashraf Sinclair kepada Nash Idrus
BACA: '12 Tahun Terindah' luahan rindu BCL terhadap Ashraf Sinclair
Namun, ketika ‘terpaksa’ bekerja semasa sedang berkabung, BCL menyifatkan dirinya saling tidak ubah seperti robot dan tiada sebarang perasaan.
Dia hanya muncul di pentas menyanyi tanpa berfikir apa-apa selain hanya teringatkan Allahyarham suaminya.
"Beberapa hari selepas Ashraf meninggal, saya sudah kembali menyanyi, kemudian hadir ke Indonesian Idol. Sepuluh hari, saya menyanyi terus dan rasa diri seperti robot sahaja," katanya.
Selang peralihan masa, BCL bersyukur kerana semangatnya sudah semakin pulih, kesedihan mengenangkan pemergian Ashraf juga mula reda.
"Perkara pertama yang paling penting sekarang adalah untuk dapat terus bernafas. Kalau boleh bernafas, boleh bercakap, kemudian boleh jumpa orang," katanya.
Pemergian Allahyarham Ashraf mengejutkan seluruh penggiat industri hiburan Malaysia dan Indonesia.
Allahyarham terkenal sebagai selebriti yang sangat disegani dan dihormati oleh kawan dan lawan.
#Bunga Citra Lestari #BCL #Ashraf Sinclair #Ashraf Sinclair meninggal dunia #bernikah lagi #mencari pengganti #Noah Aidan Sinclair
;