'Bayi kami sudah tiada' - Britney Spears umum kehamilan mengejut berakhir dengan keguguran

Astro Awani
Mei 15, 2022 10:43 MYT
Britney Spears mendedahkan kehamilan mengejut yang diumumnya bulan lalu telah berakhir dengan keguguran. -Gambar fail/Reuters
BINTANG pop Britney Spears mendedahkan kehamilan mengejut yang diumumnya bulan lalu telah berakhir dengan keguguran.
Penyanyi berusia 40 tahun itu memaklumkan perkara tersebut dalam catatan bersama dengan pasangannya Sam Asghari di Instagram pada Sabtu.
"Dengan penuh kesedihan, kami mengumumkan telah kehilangan bayi ajaib kami pada awal kehamilan."
Spears pada 11 April lalu mengumumkan kehamilan itu dalam hantarannya di akaun Instagram.
"Saya telah lakukan ujian kehamilan... dan uhhhhh, saya sedang mengandung."
Berita itu menyusul lima bulan selepas hakim Los Angeles membatalkan hak penjagaan kepada bapanya Jamie Spears yang menghalang Britney membuang alat perancang IUD walaupun dia mahu lebih banyak anak.
Dalam hantaran pada Sabtu, Britney dan Sam menambah bahawa mereka "akan terus berusaha menambah zuriat dan memohon privasi ketika berdepan detik sukar ini."
Spears ketika mengumumkan kehamilannya berkata bahawa dia pernah mengalami kemurungan selepas bersalin, yang disifatkannya sebagai "sangat mengerikan."
Britney merupakan ibu kepada dua anak lelaki remaja, Sean dan Jayden, dengan bekas suaminya Kevin Federline.
Sam dan Britney bertemu pada 2016 apabila mereka membintangi video muzik untuk single "Slumber Party".
Selepas mengumumkan pertunangan mereka lewat tahun lalu, Britney mula merujuk pasangannya yang berusia 28 tahun itu sebagai "suaminya."
#britney spears #Sam Asghari #alami keguguran #Kevin Federline
;