Barangan peribadi Kurt Cobain akan dipamerkan di Ireland
Agensi
Jun 14, 2018 18:53 MYT
Jun 14, 2018 18:53 MYT
Sebuah pameran yang didedikasikan untuk bekas penyanyi kumpulan Nirvana, Kurt Cobain akan dilangsungkan di Ireland bulan depan.
Reuters melaporkan, pameran yang dikurator oleh keluarganya itu akan mengetengahkan koleksi barangan peribadi penyanyi rock alternatif berkenaan.
Dari lakaran dan lukisan karya mendiang hinggalah kepada pakaian dan kereta, pameran ‘Growing Up Kurt Cobain’ bakal menarik perhatian pengunjung menerusi pelbagai barangan yang pernah dimiliki Cobain, malah sebahagian daripadanya belum pernah didedahkan kepada umum.
Anak perempuan mendiang, Frances Bean Cobain, dan ibunya, Wendy O'Connor, akan membuat kemunculan sempena acara pembukaan pameran itu di Museum of Style Icons di Newbridge, iaitu 50 kilometer di timur laut Dublin.
Cobain, yang mempunyai darah keturunan Irish, meninggal dunia pada tahun 1994 pada usia 27 tahun akibat ‘tertembak diri sendiri’.
"Saya orang yang paling diceritakan secara intim tentang siapa mendiang bapa saya, oleh nenek dan obu-ibu saudara saya.
“Saya teruja apabila ingatan mereka tentang siapa bapa saya dapat diraikan bersama para peminat Nirvana di seluruh dunia,” ujar Frances dalam satu kenyataan.
Para peminat Cobain, antara lain akan dapat melihat baju panas berbelang berwarna hijau yang dipakai semasa dalam video Smells Like Teen Spirit.
Lukisan zaman kanak-kanak yang dihasilkan sendiri oleh Cobain seperti watak kartun dan tulisan lirik serta kereta Dodge Dart 1965 berwarna biru miliknya juga akan dipamerkan.
Pemilik muzium berkenaan, William Doyle, berkata idea pameran Kurt Cobain itu tercetus daripada hubungan baiknya dengan keluarga mendiang.
Pameran 'Growing Up Kurt Cobain' akan dilangsungkan bermula 19 Julai sehingga penghujung September.
#barangan peribadi
#growing up kurt cobain
#Ireland
#Kurt Cobain
#Nirvana
#pameran
#Smells Like Teen Spirit