Bapa sifatkan Adibah Noor sebagai anak yang taat

Gempak
Jun 19, 2022 13:49 MYT
Mohamed Omar Zainal Abidin menyifatkan Allahyarham Adibah sebagai seorang anak yang tidak kedekut dan pemurah. - Gambar GEMPAK
SEORANG anak yang taat!
Itu keperibadian Allahyarhamah Adibah Noor daripada pandangan ‘mata’ ayahnya, Mohamed Omar Zainal Abidin, 89.
Malah, menurut Mohamed Omar, Adibah Noor juga disifatkan sebagai seorang anak yang tidak kedekut dan pemurah.
“Dia ok, taat, tak kedekut. Bagi saya dia ok je, pada orang lain terpulang pada dia,” katanya ringkas.
Tambah Mohd Omar, dia akui pelantun lagu Terlalu Istimewa itu memang tidak memberitahu mengenai penyakit dihadapinya.
“Dia tak bagitahu sesiapa pun. Kita pergi hospital hari itu dia tak bagitahu pun,” katanya ringkas.
Mohd Omar berkata demikian usai majlis pengebumian jenazah Allahyarhamah di Tanah Perkuburan Islam AU4, Taman Keramat Kuala Lumpur pada jam 11.31 pagi tadi.
[LAPOR LANGSUNG] Perjalanan akhir Adibah Noor
Ratusan hadirin termasuk ahli keluarga, sahabat dan rakan artis tampil memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.
Antara rakan selebriti yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah penyanyi dan komposer Datuk M.Nasir, Anuar Zain, Datuk Hans Isaac dan pelakon Remy Ishak.
Untuk rekod, industri seni dikejutkan dengan pemergian sebutir permata yang disayangi ramai, Allahyarhamah Adibah Noor.
Arwah sebelum ini pernah menyertai program realiti Gegar Vaganza (GV8).
Adibah atau nama sebenarnya Adibah Noor Mohamed Omar telah menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira jam 6 petang Sabtu di Hospital Gleanegles.
* Artikel asal disiarkan di Gempak
#Adibah Noor #Adibah Noor meninggal dunia #Mengenang Adibah Noor #Terlalu Istimewa
;