Bapa Meghan Markle cetus kontroversi, enggan sertai upacara perkahwinan
Agensi
Mei 17, 2018 09:37 MYT
Mei 17, 2018 09:37 MYT
BAPA Meghan Markle menimbulkan kontroversi apabila tidak memberi kepastian sama ada akan mengiringi anaknya atau tidak pada upacara perkahwinan aktres itu dengan Putera Harry, Sabtu ini.
Perkara itu menjadi tanda tanya selepas Thomas Markle memaklumkan kepada portal TMZ.com bahawa dia mungkin tidak dapat menyertai upacara bersejarah itu kerana masalah kesihatan.
Namun, selepas beberapa jam, portal yang sama mengeluarkan laporan Thomas tidak mahu melepaskan peluang meraikan hari bersejarah anak perempuannya itu.
Kekeliruan itu dikatakan memberi tamparan buat Istana Kensington yang kini dalam persiapan terakhir untuk memastikan majlis berjalan lancar.
Buat masa ini, tiada pengesahan dibuat oleh pihak istana.
"Jika bapanya tidak dapat bersama, ia tentu mengecewakan Markle. Dia amat berharap bapanya ada bersama," satu sumber menyebut.
Ibu Markle, Doria Ragland, seorang wanita berbangsa Afrika-Amerika, dijangka akan menggantikan tempat Thomas.
Ini bukan kali pertama Thomas mencetuskan kontroversi.
Minggu lalu, dia didakwa sengaja mengatur satu sesi fotografi dengan jurugambar tabloid untuk memulihkan imejnya sebagai bapa kepada bakal isteri kerabat diraja.