Bapa Jennifer Aniston meninggal dunia

Faida Rahim
November 15, 2022 18:02 MYT
Mendiang Aniston yang pernah berkhidmat dalam Tentera Laut Amerika Syarikat disifatkan sebagai bapa penyayang. Gambar/Instagram Jennifer Aniston.
LOS ANGELES: Pemenang anugerah Emmy, pelakon John Aniston meninggal dunia pada usia 89 tahun.
Berita ini disampaikan oleh anaknya, pelakon terkenal, Jennifer Aniston memaklumkan bapanya meninggal dunia pada Jumaat lalu.
Mendiang Aniston yang pernah berkhidmat dalam Tentera Laut Amerika Syarikat disifatkan sebagai bapa penyayang.
"Papa yang manis... John Anthony Aniston. Kamu antara manusia paling baik yang pernah saya kenali. Saya sangat bersyukur kerana kamu kini berada di syurga tanpa kesakitan. Dan pada tarikh 11/11, kerana kamu sentiasa mempunyai masa yang tepat. Angka ini akan kekal selama-lamanya dan memberi makna lebih besar untuk saya. Saya sayang kamu," tulis Jennifer di Instagramnya.
Sepanjang karier sebagai pelakon pada tahun 60-an, John Aniston membintangi banyak drama termasuk "Search for Tomorrow," "The West Wing" dan "Gilmore Girls". Namanya meledak menerusi "Days of Our Lives” selepas membawa watak sebagai bekas raja dadah yang kemudiannya mengasaskan Titan Industries yang berkuasa.
Pada tahun 2017, lakonannya dalam "Days of Our Lives" melayakkan John memenangi Anugerah Emmy bagi kategori pelakon pembantu terbaik. Awal tahun ini, beliau turut menerima anugerah pencapaian seumur hidup.
Mendiang telah berkahwin dua kali termasuk bersama Sherry Rooney dan dikurniakan dua orang anak, Jennifer dan Alexander Aniston selain seorang anak tiri, John Melick.
#Amerika Syarikat #Hollywood #Jennifer Aniston
;