Bapa Britney Spears lepaskan hak penjagaan

Astro Awani
Ogos 13, 2021 08:35 MYT
Jamie (kiri) bersetuju melepaskan hak penjagaan ke atas anaknya Britney selepas 13 tahun. -AP
BAPA kepada penyanyi pop terkenal Britney Spears bersetuju untuk melepaskan hak penjagaan ke atas anaknya selepas 13 tahun.
Menurut peguam Britney dalam satu kenyataan pada Khamis, keputusan tersebut merupakan satu kemenangan besar buat mereka.
"Kami ingin mengumumkan bahawa Jamie Spears serta peguamnya bersetuju untuk melepaskan hak penjagaan," katanya.
Bapa Britney, Jamie, diberi hak sepenuhnya untuk mengawal urusan peribadi, harta, dan aset anak keduanya yang berjumlah hampir AS$60 juta sejak kira-kira 13 tahun lalu.
Dia dilaporkan telah memfailkan keputusan tersebut dalam dokumen mahkamah pada Khamis.
Namun tidak dinyatakan bila Jamie akan melepaskan hak penjagaannya itu.
Dalam dokumen mahkamah tersebut, Jamie berkata dia tidak menganggap tindakan tersebut langkah terbaik untuk anaknya, namun akan bekerjasama sepenuhnya sehingga penjaga baharu dilantik.
Karier penyanyi tersebut dikawal ketat oleh bapanya susulan dakwaan Britney mengalami masalah kesihatan mental sejak 2008.
Sebelum ini mahkamah bersetuju untuk memberikan hak penjagaan kepada bapanya, Jamie Spears yang turut bertanggungjawab menguruskan segala urusan berkaitan perubatan, kewangan dan peribadi bintang itu.
Britney sebelum ini memfailkan rayuan kepada Mahkamah Los Angeles, Amerika Syarikat yang memohon untuk menyingkirkan bapanya sebagai ‘penjaga’ (conservator).
BACA: Britney Spears beri amaran, enggan muncul di pentas selagi bapanya 'berkuasa'
Britney mendakwa dia mengalami tekanan, tidak boleh tidur, dan tidak gembira dengan kehidupan hariannya.
Bagaimanapun, Jamie secara konsisten menafikan tuduhan yang dikemukakan Britney.
BACA: Ini satu penderaan, saya bukan 'hamba' kepada sesiapa - Britney Spears mahu bebas
Susulan itu, pelbagai kempen dijalankan orang awam dan peminatnya termasuk #FreeBritney yang mendesak agar kebebasan diberikan kepada penyanyi itu.
Sebelum ini, peguam yang dilantik mahkamah telah mengajukan dokumen untuk mengundurkan diri daripada mengendalikan kes tersebut.
BACA: Peguam dilantik mahkamah wakili Britney Spears tarik diri
Sameul Ingham III memfailkan dokumen tersebut di Mahkamah Tinggi Los Angeles yang meminta agar pengadilan melantik peguam baharu buat Britney.
#britney spears #Jamie Spears #hak penjagaan #kesihatan mental #aset #mahkamah Los Angeles #conservator #penjaga #Sameul Ingham III
;