Bapa Ben Stiller, Jerry Stiller meninggal dunia pada usia 92
Faris Danial Razi
Mei 11, 2020 21:46 MYT
Mei 11, 2020 21:46 MYT
“MENDIANG merupakan seorang bapa dan atuk yang baik, serta merupakan suami yang paling berdedikasi untuk Anne selama lebih kurang 62 tahun..”
Itu luahan hati seorang anak kepada pelakon dan veteran komedi terkenal, Jerry Stiller, yang meninggal dunia pada usia 92 tahun pada Isnin.
Pemergian mendiang disahkan sendiri oleh Ben Stiller, 54 yang juga selebriti terkenal menerusi akaun Twitter rasminya.
Menurut Ben Stiller, bapanya meninggal dunia akibat sakit tua.
Jerry Stiller memulakan kariernya sebagai selebriti pada era 1950-an bersama mendiang isterinya Anne Meara dalam beberapa siri filem sebelum Anne meninggal dunia pada 23 Mei 2015 di usia 85 tahun.
Bagaimanapun, punca kematian Anne sebelum ini tidak didedahkan.
Jerry terkenal sebagai watak bapa George Costanza, iaitu Frank Costanza dalam siri sitkom popular hujung 80-an dan awal 90-an, Seinfeld.
Mendiang sebelum ini turut pernah memainkan watak bersama anaknya, Ben menerusi filem “Zoolander” dan “Shoeshine”.
Selain Ben Stiller, Jerry Stiller dan Anne memiliki seorang lagi anak perempuan yang bernama Amy yang juga merupakan seorang pelakon Hollywood.