'Banyak nyamuk, ular' - Ebit Lew sebak lihat dua beradik tinggal bawah jambatan
Gempak
Ogos 6, 2022 11:45 MYT
Ogos 6, 2022 11:45 MYT
PENDAKWAH bebas Ebit Lew terbang ke Kelantan untuk membantu dua beradik yang sudah dua bulan tinggal di bawah sebuah jambatan di Bachok.
Ebit memberitahu dia mengalirkan air mata bila mengenangkan nasib mereka yang ditimpa ujian sebegitu.
“Saya terbang pagi ni (semalam) ke Kelantan ziarah dua beradik ini yang dah dua bulan duduk bawah jambatan. Makan, tidur semuanya di bawah jambatan di Bachok.
“Seorang adik jaga abangnya yang tekanan dan gangguan emosi. Kasihan tengok mereka. Menangis melihat anak muda ditimpa ujian begini,” katanya.
Ebit berkongsi perkara berkenaan di akaun Instagram miliknya.
Menerusi entri itu dia memuat naik video saat menziarahi dua lelaki itu.
Difahamkan, pemuda berusia 27 dan 25 tahun yang memilih untuk hidup berdikari di bawah jambatan itu pernah tular apabila bapanya bernikah lain setelah pemergian ibu tersayang.
Difahamkan abangnya mempunyai masalah kesihatan mental.
Ebit yang tidak keseorangan ditemani Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi-agensi bukan kerajaan lain (NGO) datang menghulurkan bantuan.
“Termenung diam je abangnya. Tadi bersama JKM dan NGO tempatan.
"Berat ujian adik ni. Kadang kita tak terfikir kenapa tidur bawah jambatan. Banyak nyamuk dan ular katanya.
“Adik ni tak sabar nak bekerja cuma mengenangkan abangnya. Abang ni dibawa dapatkan rawatan.
“Semoga adik beradik ni diberi sihat dan kekuatan dalam meneruskan kehidupan dan melalui ujian ini dengan sabar,” katanya lagi. -Gempak