Bantuan Finas seolah-olah dapat 'oksigen' baharu - Wan Maimunah
Bernama
Julai 20, 2020 20:28 MYT
Julai 20, 2020 20:28 MYT
Pelakon Wan Maimunah Wan Abdul Aziz antara 10 artis yang menerima sumbangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) melalui program Finas Prihatin hari ini menyifatkan bantuan itu sebagai 'oksigen' kepada artis veteran yang sesetengahnya sekian lama dilupakan dalam industri.
"Ibu bersyukur kepada Allah SWT dalam keadaan begini, seribu rahmat ada yang masih ingat kami (artis veteran), kami masih diraikan dalam majlis biar kecil tapi bahagia. Tiada lain selain bersyukur...Alhamdulillah.
"Kami bukan mengharapkan sumbangan besar, sekurang-kurangnya ingatan itu yang menggembirakan kami, seolah-olah dapat oksigen baharu," katanya.
Sumbangan berupa wang tunai dan cenderahati selain barangan keperluan harian itu disampaikan oleh penaung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia cawangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (PCKKMM) Datin Norlin Shamsul Bahri di pejabat Finas sempena aktiviti turun padang sulung persatuan itu hari ini.
Pelakon Ku Faridah Ku Shafie pula berkata dia amat menghargai sumbangan itu dan bersyukur kerana masih ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan sekali gus meringankan beban yang ditanggung.
"Saya bersyukur masih ada yang ingin membantu dan panggil 'shooting'...Rezeki itu bukan untuk apa tetapi duit itu untuk rawatan sakit yang mak ungku tanggung sejak tahun lepas. Berbanyak jutaan terima kasih," katanya.
Sementara itu Norlin berkata, PCKKMM akan meneruskan lawatan ke cawangan dan agensi di bawahnya termasuk Bernama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan sebagai aktiviti turun padang bagi memastikan kebajikan ahli-ahlinya terbela, termasuk penggiat seni.
"Melalui cawangan dan agensi, kami akan outreach (perkhidmatan bantuan) ahli kami, membantu selagi boleh dari segi kebajikan dan pendidikan mereka sebab penggiat seni juga ada kanak-kanak dan pelajar selain ada juga yang tidak berkemampuan.
"Kami bukan sahaja bantu ahli tetapi anak-anak mereka," katanya ketika ditemui Bernama dan RTM selepas menyampaikan sumbangan Finas Prihatin kepada 10 artis di pejabat Finas di sini.
Beliau berkata program lawatan sulung ke Finas, satu daripada agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu juga bertujuan menyalurkan sumbangan kebajikan sebagai tanda penghargaan kepada penggiat industri yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
-- BERNAMA