Banjir: Rumah Ebby Yus yang dalam pembinaan dihanyutkan air

Gempak
Disember 20, 2021 11:36 MYT
Rumah impian Ebby Yus selama 30 tahun sejak berkecimpung dalam dunia seni musnah selepas bencana banjir menghanyutkan kediaman yang sedang dalam pembinaan itu. - Gambar GEMPAK
PELAKON dan pelawak Ebby Yus reda dengan ketentuan Allah apabila rumahnya musnah dihanyutkan air deras dalam bencana banjir di Kuala Langat, Selangor, Sabtu lalu.
Menurut Ebby, rumah tersebut yang sedang dalam pembinaan dan hampir siap.
“Rumah itu tinggal 10 peratus lagi nak siap termasuk proses memasang wall paper dan touch-up sikit-sikit.
“Rumah itu dibina menggunakan separuh batu dan separuh kayu. Inilah rumah impian saya sejak lebih 30 tahun berkecimpung dalam dunia seni.
“Tetapi tidak mengapalah, saya reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya tenang.
Dalam pada itu, Ebby sempat berkongsi mengenai ‘kenangannya’ bersama rumah yang dibina di tanah seluas setengah ekar itu.
“Rumah itu ‘naik’ sikit-sikit sebab pandemik COVID-19 dan saya sakit. Bertukar kontraktor pun ada juga kerana masalah tidak terduga... jadi lambatlah sikit siapnya.
“Kalau nak cerita tentang kenangan, setiap kali dapat bayaran berlakon saya simpan untuk rumah itu.
“Kali terakhir selepas dapat bayaran daripada penerbit sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK), saya selesaikan baki bayaran projek pembinaan rumah itu,” katanya.
Ebby berkata, dia dan pembantu peribadi sempat melihat kerja-kerja pembinaan rumah terbabit satu jam sebelum kawasan penempatan tersebut dilanda banjir.
“Saya pergi lihat rumah dan keluar kira-kira satu jam sebelum bencana alam itu berlaku.
“Alhamdulillah, saya selamat dan baik-baik sahaja. Sekarang ini saya di rumah sewa di Kampung Baru. Terima kasih kepada yang bertanya dan mengambil berat,” katanya.
Bencana alam itu mengakibatkan Ebby atau nama sebenar, Muhammad Yunus Abdul Rashid kerugian hampir RM200,000.
Artikel asal di Gempak boleh dibaca di sini.
#banjir #Ebby Yus #rumah #dihanyutkan air
;