Banjir: Gegar Vaganza Kongsi Kasih malam ini hulur bantuan kepada mangsa
Astro Awani
Disember 19, 2021 18:32 MYT
Disember 19, 2021 18:32 MYT
KUALA LUMPUR: Peka dengan musibah banjir yang berlaku, pihak Astro mengambil keputusan untuk meneruskan siaran langsung Konsert Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) minggu kelima malam ini dengan Konsert Gegar Vaganza Kongsi Kasih.
Melalui Yayasan Astro Kasih, Astro akan menghulurkan bantuan sebanyak RM80,000 kepada Tabung Bantuan Bencana Negara NADMA dan Mercy Malaysia (RM40,000 setiap pertubuhan) bagi membantu mangsa banjir yang terkesan dengan musibah yang melanda negara pada ketika ini.
"Kami berharap, dengan adanya bantuan ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu setiap mereka yang terlibat dengan bencana banjir ini.
"Pihak GV juga akan turut menyalurkan bantuan tambahan kepada mangsa banjir yang akan diumumkan dengan lebih lanjut sewaktu konsert berlangsung malam ini.
"Pada masa yang sama, Astro juga turut melancarkan kempen pengumpulan dana sebagai usaha mengumpul sumbangan dan derma kilat bagi membantu mangsa banjir," kata Pengurus Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
Bantuan untuk mangsa banjir Monsun Timur Laut boleh disalurkan melalui Tabung Bantuan Bencana Negara ke akaun Bank Muamalat 1601-0001138-71-4 atau melalui MERCY Malaysia Flood Relief ke akaun Maybank 5621-7950-4126 & CIMB 8000-7929-08.