Banjir di Jakarta: Selebriti Indonesia berkongsi nasib ditimpa banjir awal 2020
Faris Danial Razi
Januari 2, 2020 19:59 MYT
Januari 2, 2020 19:59 MYT
BANJIR yang melanda ibu negara Indonesia, Jakarta sejak malam tahun baharu yang lalu menjejaskan kehidupan hampir 30 juta penduduk di ratusan kawasan.
Tidak terkecuali, lokasi kediaman selebriti Indonesia yang turut ditenggelami air.
Dikumpulkan daripada pelbagai sumber, ini merupakan catatan dan perkongsian daripada selebriti Indonesia yang memuat naik gambar keadaan banjir di rumah mereka untuk awal tahun 2020 ini.
Yuni Shara
Ini yang menjadi perhatian netizen selepas ia tular di media sosial apabila penyanyi terkenal Indonesia, Yuni Shara memuat naik gambar di rumahnya menjadi korban banjir di Jakarta.
Meskipun kediaman mewahnya itu dinaiki air banjir, beliau tetap menyatakan rasa syukur dengan apa yang terjadi.
"Alhamdulillah. Thank you 2019, welcome 2020," kata Yuni di Instagram.
Rian Dmasiv
Vokalis kumpulan Dmasiv, Rian juga seolah-olah menerima takdir dengan memuat naik gambarnya yang berada di dalam banjir sambil memindahkan barangan penting dari rumahnya yang ditenggelami air.
Nicky Tirta
Dalam pada itu, menerusi laman Instagramnya, Nicky Tirta, pelakon Indonesia memuat naik gambar rumahnya yang dimasuki air yang mana sehingga membuatkan garajnya juga dipenuhi air.
Anya Geraldine
Berlainan pula kisah yang terjadi pada selebriti internet Indonesia, Anya Geraldine yang pada awalnya tidak menyedari apartmennya juga turut dilanda banjir.
Anya hanya mengetahui rumahnya yang terletak di kawasan Kemang, Jakarta Selatan apabila dia ingin memesan makanan menerusi perkhidmatan penghantaran makanan dan tidak ada yang menerima pesanannya itu.
Namun, setelah melihat keadaan di rumahnya itu, beliau ketika itu mula menyedari rumahnya ditenggelam air sehingga mencecah paras dada.
Nycta Gina
Rumah bagi pasangan artis Nysta Gina dan Rizky Kinos juga 'didatangi' air banjir yang mana mereka sempat memuat naik gambar berwarna hitam putih, bersertakan kapsyen “hadiah tahun baru”.
Sinyorita
Pelawak dan pelakon popular di negara itu, Sinyorita juga menjadi mangsa banjir namun beliau perlu merelakan beberapa barangan di rumahnya kerana air yang memasuki ke rumahnya berada di ketinggian pinggangnya dan beliau hanya redha dengan keadaan rumahnya yang hanyut dek banjir.
Evi Masamba
Rumah penyanyi dangdut, Evi Masamba juga dibanjiri air dan seperti yang dilaporkan oleh media Indonesia, air di rumahnya it uterus mengalir dan dilihat semakin tinggi.
Sementara itu, sekurang-kurangnya 21 mangsa dilaporkan terkorban dalam banjir yang melanda ibu kota Indonesia sejak tiga hari lalu.
Jumlah itu meningkat daripada angka awal sebanyak sembilan mangsa sejak semalam dan 16 mangsa awal pagi ini, kata jurucakap Kementerian Hal Ehwal Sosial, Joko Hariyanto.