'Bangsawan Dendam Laksamana' beri pendedahan kesenian bangsawan
Madiha Abdullah
November 7, 2018 09:31 MYT
November 7, 2018 09:31 MYT
Cabaran mementaskan teater berkonsep bangsawan bukan sahaja terletak kepada garapan penceritaannya, tetapi lebih besar adalah menarik minat penonton untuk menghargai kesenian bangsawan yang sudah wujud sejak berpuluh tahun lalu.
Justeru, pementasan teater 'Bangsawan Dendam Laksamana', dilihat satu usaha yang dimainkan penggiat seni dalam memberi pendedahan kepada penonton, khususnya anak muda untuk mengenali salah satu cabang seni tertua masyarakat Melayu itu.
"Anak-anak muda perlu cuba datang, sekurang-kurangnya sekali. Dari situ mereka akan tahu, dari mana asal-usul mereka, bagaimana santunnya masyarakat dahulu, dan gaya hidup mereka.
"Sebagai orang yang kali pertama berlakon teater bangsawan, saya sendiri belajar banyak perkara berkenaan asal-usul saya selepas terbabit dalam pementasan ini," kata Aidilla Shafi, salah seorang teraju utama Bangsawan Dendam Laksamana.
Ciri istimewa teater bangsawan meliputi semua aspek kesenian Melayu, iaitu muzik, tarian, seni mempertahankan diri dan bahasa.
"Elemen-elemen ini yang memberi rasa keterujaan dalam pementasan bangsawan dan tentunya bagus jika kita dapat beri penonton rasa perasaan yang sama," ujar salah seorang pelakon yang kini aktif dalam bidang pengarahan, Megat Sharizal.
Bagi pengarah teater Bangsawan Dendam Laksamana, Pat Ibrahim, dia memilih untuk menyuntik elemen pemodenan dalam teater bangsawan untuk memastikan ia boleh diterima ramai.
Pemodenan yang dimaksudkan bagaimanapun perlu berada di paksi yang betul agar nilai seni bangsawan itu tidak hilang.
"Saya seorang pengkarya, jadi saya perlu akur dengan kehendak penonton sekarang. Kerana itu saya cuba masukkan sebanyak mungkin elemen moden seperti dari segi busana, latar dan kesan khas.
"Satu lagi elemen penting adalah muzik, kerana ia membantu membangkitkan emosi. Saya bertuah kerana mendapat khidmat pengarah muzik Saiful Ridzuan yang sememangnya tahu apa yang diperlukan dalam pementasan teater masa kini," kata Pat.
Bagi pelakon berpengalaman, Hairi Safwan, pemodenan itu juga satu cara untuk memberi pendedahan dan menanam minat generasi muda terhadap kesenian bangsawan.
"Kalau nak ikut macam yang asal, takut nanti penonton tertidur. Kalau kita nak didik penonton, kita kena pastikan mereka tak ada ruang pun untuk rasa mengantuk.
"Perlu ada penambahbaikan dan ambil tahu apa yang penonton mahukan. Jadi, pembaharuan itu perlu ada kerana kita kena penuhi kehendak penonton yang beli tiket," katanya membawakan watak Laksamana Megat Seri Rama.
Bangsawan Dendam Laksamana dipentaskan di Matic, Kuala Lumpur, bermula 2 hingga 11 November ini.
Ia menampilkan para pelakon seperti Hairi Safwan, Aidilla Shafi, Datuk Jalaluddin Hassan dan Megat Sharizal.
#Aidilla Shafi
#anak muda
#bangsawan
#Bangsawan Dendam Laksamana
#Datuk Jalaluddin Hassan
#Hairi Safwan
#Megat Sharizal
#Melayu
#Pat Ibrahim
#Seni
#teater