'Baikpulih filem lama patut dibuat sejak 10 tahun dulu' - Kamil Othman

Azyyati Ahmad
April 15, 2015 13:21 MYT
KAMIL: Saya kira semua filem tiada tarikh luput. Apa pun jenis filem, ia masih relevan untuk ditayangkan bila-bila masa sahaja. - Foto Astro AWANI
Usaha-usaha membaikpulih filem-filem lama seperti yang dibuat ke atas filem Bukit Kepong oleh United Studios sepatutnya dibuat dari 10 tahun dahulu.
Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Kamil Othman turut memuji usaha yang dilakukan anak-anak syarikat KRU International Sdn Bhd itu yang disifatkannya sebagai satu langkah yang baik.
“Usaha begini sebenarnya harus dilakukan sejak dari 10 tahun dahulu. Saya puji langkah United Studios dan Prodigy Lab yang mengambil langkah pertama membaikpulih filem sejarah Bukit Kepong.
“Saya kira semua filem tiada tarikh luput. Apa pun jenis filem, ia masih relevan untuk ditayangkan pada bila-bila masa sahaja,” kata Kamil.
Kamil turut berhasrat agar Finas dapat menjadi tempat simpanan kesemua filem-filem keluaran tempatan.
“Dengan adanya usaha begini, hasrat saya agar Finas dapat mengumpul semula dan menjadi tempat penyimpanan filem-filem tempatan,” kata Kamil yang ditemui di majlis perlancaran trailer Bukit Kepong versi HD di Pitching Centre Content Malaysia, Platinum Sentral, Kuala Lumpur pada Selasa.
Kamil turut berharap agar filem ini dapat ditayangkan sempena Hari Kemerdekaan tahun ini dan dapat ditonton oleh generasi baru.
“Dengan versi baru nanti, generasi yang belum pernah menonton Bukit Kepong akan berpeluang menontonnya pada Ogos nanti.
“Mungkin selepas ini lebih banyak filem-filem klasik dapat diselamatkan buat tontonan generasi yang akan datang,” kata Kamil yang secara peribadi meminati filem Melayu lama lakonan Allahyarham Nordin Ahmad, Hang Jebat.
Filem Bukit Kepong merupakan filem arahan pengarah dan pelakon lagenda Tan Sri Jins Shamsudin dan telah diterbitkan sekitar 1981.
Usaha-usaha membaikpulih filem berkenaan telah dilakukan oleh Prodigital Lab Sdn Bhd dan akan diedarkan oleh United Studios Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat KRU International Sdn Bhd dengan kerjasama Jins Shamsudin Productions.
#Bukit Kepong #FINAS #HD #Jins Shamsudin #Kamil Othman #Norman Abdul Halim
;