Baik Punya Ah Long ke Festival Filem Rotterdam 2025, Datuk Afdlin syukur
Gempak
Disember 24, 2024 16:30 MYT
Disember 24, 2024 16:30 MYT
PENGARAH dan pelakon Datuk Afdlin Shauki meluahkan rasa syukur dan bangga apabila filem Baik Punya Ah Long berjaya terpilih untuk mengadakan tayangan perdana di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam (IFFR) pada Januari 2025.
Syukur dan bangga
Menurut Afdlin, kejayaan ini sedikit sebanyak dapat mengubati dukanya selepas filem tersebut kurang mendapat sambutan di Malaysia.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana kita dipilih sendiri bukan saya yang menghantar filem ini.
“Saya rasa perasaan saya sama dengan pengarah filem Joker sebab harapan mereka tinggi untuk filem tersebut kerana mereka buat muzikal juga.
“Secara jujurnya saya memang ada rasa sedih sikit kerana filem itu tidak menjadi perbualan tapi ianya sedikit sebanyak ada rasa terubat bila ia dipilih ke Rotterdam.
“Bila tidak dapat sambutan yang hangat ia agak menganggu saya sedikit, sebab adakah saya sudah tak boleh buat filem, ketinggalan? Jadi apabila pemilihan dari Rotterdam ini, pengiktirfaan dari Eropah ini, saya rasa bangga, kerja saya diiktiraf," katanya.
Sementara itu, berkongsi mengenai harapan, pelakon filem Papadom itu berharap agar filem tersebut diterima baik oleh penonton di Eropah.
“Harapan saya semoga filem ini dapat memikat penonton di Eropah dan mungkin ada kesinambungan dari itu, saya insha-Allah akan pergi ke sana juga,” ujarnya lagi.
Sekadar info, filem ini berjaya mencecah kutipan RM1 juta selepas tiga hari ditayangkan di pawagam seluruh tanah air.
Baik Punya Ah-Long menampilkan raja duo komedi Malaysia, JOZAN iaitu gandingan Zizan Razak dan Johan memegang watak 'ah long', di mana mereka menjalankan perniagaan pinjaman wang dengan konsep perniagaan yang luar dari kebiasaan.
Menggunakan tagline 'Semua Boleh Settle', filem ini mempertaruhkan 18 buah lagu yang dinyanyikan oleh barisan pelakon sendiri.
Selain Zizan dan Johan, antara pelakon lain membarisi filem berkenaan ialah Liyana Jasmay, Adibah Noor, Adlin Aman Ramlie dan ramai lagi.
Sinopsis:
Baik Punya Ah Long mengisahkan tentang dua adik beradik, Aloy dan Ale yang diminta oleh ayah mereka untuk menjalankan perniagaan. Meskipun Aloy dan Ale tidak mempunyai pengalaman, mereka tetap menyahut cabaran ayah mereka. Jadi, wujudlah perniagaan pinjaman wang oleh Aloy dan Ale. Perniagaan mereka telah mengugat Lan Panda dan menyebabkan ketidakpuasan hati. Lan Panda mulakan agendanya untuk menghapuskan Aloy dan Ale.
Baik Punya Ah Long telah dipilih untuk mengadakan tayangan perdana antarabangsa di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam (IFFR), sebagai sebahagian daripada program 'Limelight' festival itu .
IFFR ialah salah satu festival filem antarabangsa yang paling berprestij dan salah satu yang paling penting di Eropah.
Segmen ciri baharu ini 'Limelight' mempersembahkan tayangan perdana bagi beberapa sorotan sinematik tahun ini, kegemaran festival yang dinanti-nantikan dan pemenang anugerah antarabangsa.