"Bahasa dan Budaya dalam Filem" tema Hari Kru Filem 2024
Bernama
Januari 24, 2024 07:30 MYT
Januari 24, 2024 07:30 MYT
KUALA LUMPUR: "Bahasa dan Budaya dalam Filem" diangkat sebagai tema Hari Kru Filem 2024 yang akan disambut pada 1 Feb ini.
Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) Khalil Salleh berkata, tema itu dipilih bagi memartabatkan lagi bahasa Melayu dan budaya Malaysia yang dilihat dipandang enteng oleh sesetengah pihak.
Justeru menurut beliau, pada tahun ini, pihaknya bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam menganjurkan Hari Kru Filem yang sudah memasuki tahun kedua.
"Tema ini perlu diangkat, biar orang buka mata tahu kepentingannya (bahasa dan budaya dalam filem). Jadi, kita telah bekerjasama dengan DBP supaya kesedaran mengenai isu itu dalam filem dapat disebarkan dengan lebih luas bukan sahaja kepada PROFIMA, tetapi juga orang ramai.
"Isu ini sangat penting dan tidak boleh dipandng remeh kerana ia akan menjadi barah. Sekurang-kurangnya kita akan jadi kumpulan yang menjentik isu yang sebelum ini dipandang ringan," katanya ketika menjadi tetamu pada program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV pada Rabu.
Dalam pada itu, Khalil berkata bersempena dengan Hari Kru Filem 2024, pihaknya turut menyarankan supaya ahli aktif yang berdaftar di bawah persatuan itu supaya mencarum atau mendaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menurutnya, ia penting bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terbela ketika bekerja memandangkan sektor pekerjaan sebagai kru filem sangat terdedah kepada bahaya terutama semasa sesi penggambaran.
"Ketika kita memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Perkeso dahulu, kita mengharapkan 5,000 hinga 7,000 ahli yang aktif mencarum Perkeso, tapi ia tidak berlaku memandangkan hanya lebih kurang 800 ahli yang mencarum setakat ini.
"Jadi, kita akan sentiasa melakukan kempen kesedaran berkaitan perkara ini dan berharap ahli-ahli yang mencarum akan bertambah dari semasa ke semasa," katanya. - BERNAMA