Bagaimana penerbit Star Wars menyimpan rahsia filem terbaharu?

Nizam Bakeri
Disember 12, 2015 09:02 MYT
Penerbit francais Star Wars, Lucasfilem dan kini Disney mengambil banyak langkah untuk memastikan filem tidak bocor sebelum tarikh tayangan. - Foto Lucasfilm/Disney
PADA tahun 1981, Star Wars telah dianggap sebagai satu fenomena sekaligus memberi cabaran untuk penerbit menjalankan penggambaran bagi filem ketiga francais tersebut, Return of the Jedi.
Bagi mengelakkan gangguan peminat, penerbit telah mencipta nama “Blue Harvest”, kononnya sebuah filem seram sebagai samaran. Nama filem palsu itu lengkap dengan logo yang dicetak pada jaket dan topi para petugas.
Pembikinan filem terbaru The Force Awakens juga telah dirahsiakan malah kali ini lebih tersembunyi berbanding filem-filem Star Wars sebelum ini.
Sebuah syarikat samaran untuk menguruskan penggambaran bernama Foodles ditubuhkan, kononnya sebagai syarikat penerbitan filem.
Nama tersebut tidak dipilih rambang. Foodles juga merupakan nama sebuah restoran yang berjiran dengan Kerner Optical, satu lagi syarikat samaran yang direka untuk melindungi Industrial Light & Magic, syarikat milik pengasas Star Wars, George Lucas.
Nama filem juga perlu dirahsiakan. J.J. Abrams memilih kod nama “Avco” untuk filem tersebut. Sekali pandang, perkataan itu seolah-olah tiada makna.
Namun peminat tegar Star Wars pasti mengingati temuramah J.J. Abrams yang menceritakan pengalaman awalnya dengan Star Wars: “Saya masih ingat menonton Star Wars di pawagam pada hari pembukaan di Avco Theater dan segala-galanya berubah selepas itu.”
FOTO: Di sebalik tabir Star Wars: The Force Awakens
BACA: Pencipta Star Wars, George Lucas, suka versi JJ Abrams
BACA: The Force Awakens: Google mahu tahu anda di pihak mana?
Kerjasama Disney
Pada 6 Disember lalu, Lucasfilm telah mengadakan sidang media untuk The Force Awakens. Kesemua pelakon, tenaga kerja penerbitan, dan wartawan hadir. Kecuali satu: tidak ada petikan filem ditayangkan.
Seorang wartawan dalam sesi soal jawab malahan merungut bahawa inilah kali pertama beliau menghadiri sidang media tanpa sebarang petikan filem ditayang.
Kathleen Kennedy, presiden Lucasfilm menjelaskan, “Sejak awal lagi kami sangat menghormati para peminat. Kami beri tumpuan kepada peminat agar setiap mereka yang melangkah masuk ke pawagam akan menerima kejutan. Zaman sekarang kita sudah tidah terkejut lagi kerana biasanya apa yang ditonton dalam filem sudah dipaparkan dalam treler ataupun didedahkan secara atas talian.”
Abrams yang sebelum ini terkenal dengan kerahsiaan ketika berkarya untuk filem Star Trek Into Darkness, juga kagum dengan kesanggupan Disney untuk berahsia.
“Saya fikir saya akan bergaduh dengan Disney tentang apa yang boleh dikongsi dengan peminat dan apa yang tidak kerana saya memang sangat perahsia. Tetapi saya terkejut sebab Disney sendiri yang bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan jalan cerita,” ujar Abrams.
Kini tinggal beberapa hari sebelum The Force Awakens menemui peminat; masih banyak lagi persoalan yang menjadi misteri dan di Malaysia, kesemuanya bakal terjawab 17 Disember ini.
#filem #J.J. Abrams #Star Wars #The Force Awakens
;