Bagai sesuatu yang tertunda, Padi muncul selepas sepi selama 7 tahun

Astro Awani
Mei 6, 2018 09:57 MYT
Piyu (Gitar), Fadly (Vokal Utama), Ari (Gitar), Rindra (Bass) dan Yoyo (Drum) menggunakan nama Padi Reborn. - Gambar Papadin SelebritiOnline
SELEPAS tujuh tahun menghilangkan diri, lima individu yang membentuk kumpulan muzik bernama Padi bakal muncul dalam sebuah konsert di Kuala Lumpur pada 30 Jun 2018.
Kali ini Piyu (Gitar), Fadly (Vokal Utama), Ari (Gitar), Rindra (Bass) dan Yoyo (Drum) menggunakan nama Padi Reborn bersesuaian dengan kemunculan kembali mereka selepas tujuh tahun.
Kata Qew Communications Sdn Bhd yang merupakan penganjur konsert Padi Reborn Exclusive Live In KL, ia seperti sesuatu yang tertunda.
Namun kini, umpama armada membelah samudera, sebuah kumpulan muzik yang cukup dipuja peminatnya kembali mengemudi arah mereka dengan jelas.
Mereka seperti terlahir semula. Maka dengan itu, buat pertama kalinya dalam sejarah penubuhan Padi sejak tahun 1997 kumpulan tersebut akan mengadakan konsert perdana mereka, Padi Reborn Exclusive Live In KL yang dijadualkan berlangsung pada 30 Jun 2018.
Ia ternyata bukan sesuatu yang asing untuk mereka kembali menguasai pentas dan menghiburkan dahaga Sobat Padi, namun berdiri semula di atas nama Padi Reborn, dengan usia yang sudah menuai manis matang, kumpulan yang berasal dari Surabaya itu menjanjikan nikmat yang tidak sedikit untuk diraikan.
Deretan hit klasik seperti Mahadewi, Sesuatu Yang Tertunda, Menanti Sebuah Jawaban, Begitu Indah atau Kasih Tak Sampai pasti akan diperdengarkan. Tidak sekadar itu, Padi Reborn menjanjikan hal yang lebih luar biasa buat Sobat Padi.
"Kami berasa cukup terharu dan senang sekali kerana buat pertama kalinya dengan memakai nama Padi Reborn, sebuah konsert solo kami akan dipersembahkan.
"Persembahan di Malaysia ini juga sebagai lambang apresiasi buat Sobat Padi yang tidak pernah lelah menyokong kami biar pada saat Padi vakum dan kini kembali. Kami berharap Sobat Padi Malaysia akan senang dan bergembira bersama menyanyikan lagu-lagu Padi," ujar Piyu.
Namun konsert itu bukan hanya menampilkan Padi Reborn, kumpulan Pitahati dijemput menjadi band undangan dan pastinya bakal memberi sebuah persembahan tidak kalah hebatnya.
Pada konsert tersebut, Pitahati yang terdiri daripada Ilham, Yasin, Masrin, Zahar dan Hidayat bakal membuat peminat khayal dengan untaian genre nusantara rock-avant garde mereka.
Sebagai informasi, Padi mempunyai lima studio album iaitu Lain Dunia (1999), Sesuatu Yang Tertunda (2001), Save My Soul (2003), Padi (2005) dan Tak Hanya Diam (2007). Kumpulan ini juga mempunyai album kompilasi yang berjudul The Singles yang dipasarkan pada tahun 2011.
Tiket-tiket untuk menikmati untaian indah Padi Reborn Live Exclusive In KL pada 30 Jun depan sudah dijual dengan harga RM179 untuk standard (Platinum) dan sesi meet and greet pula RM290 untuk standard.
Tiket ‘early bird’ telah habis dijual seminggu selepas pengumuman tentang konsert ini dibuat.
Semua tiket boleh diperoleh dengan melayari www.buytickets.com.my.
#Indonesia #Kuala Lumpur #Live In KL #Malaysia #muzik #Padi #Padi Reborn #Pitahati #Surabaya
;