Badul semakin stabil, dijangka keluar hospital Khamis

Saharudin Musthafa
Februari 18, 2019 21:24 MYT
Pelakon, pelawak dan pengarah veteran, AR Badul sudah kembali stabil selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Koronori (CCU), Institut Jantung Negara (IJN) akibat diserang penyakit jantung.
Menurut adiknya, Adlin Aman Ramlie, abangnya juga dijangka dipindahkan ke wad biasa pada Selasa.
“Alhamdulillah, abang Badul sudah stabil. Doktor telah melakukan rawatan dan pemeriksaan rapi ke atasnya.
“Insya-Allah abang Badul juga dijangka keluar wad pada Khamis ini,” kata Adlin kepada Astro AWANI.
Badul atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie, 70, dimasukkan ke IJN pada Ahad selepas mengadu sakit dada dan berpeluh.
Doktor yang merawat seniman itu juga sudah memasukkan dua ring jantung (stent) bagi melebarkan salur darah seniman itu.
Badul merupakan pelakon yang mula menempa kemasyhuran sekitar tahun 1970-an dan masih aktif sehingga ke hari ini.
Anak kepada legenda perfileman Melayu, AR Tompel itu pernah membintangi filem-filem seperti Panglima Badol, Tuan Badul, Prebet Lapok, Darah Satria dan banyak lagi.
#Adlin Aman Ramlie #AR Badul #AR Tompel #CCU #IJN #Institut Jantung Negara #pelawak #penyakit jantung #ring jantung #sakit dada #Unit Rawatan Koronori
;