Backstreet Boys janji akan kembali ke Malaysia

Astro Awani
Mac 25, 2013 17:38 MYT
Kunjungan singkat kumpulan Backstreet Boys (BSB) bagi menyempurnakan konsert “Twin Towers At Live” sempena Grand Prix Formula One Malaysia membuatkan mereka berjanji untuk kembali semula ke Malaysia pada tahun depan.
Seiring dengan penerbitan album terbaru kumpulan itu yang dijangka mula dipasarkan pada penghujung tahun ini, BSB turut membuat perancangan untuk mengadakan konsert jelajah.
Kumpulan yang dianggotai Brian Littrell, Nick Carter, Howie Dorough, Kevin Richardson dan A.J. Mclean ini dikatakan mahu meluangkan lebih masa untuk bermesra dengan peminat di Malaysia.
Menurut Howie, beliau sangat kagum dengan para peminat yang hadir pada malam persembahan BSB disamping tidak akan melupakan kenangan itu.
“Kami pasti akan berkunjung lagi ke Malaysia dan seluruh Asia Tenggara kerana ianya merupakan tempat yang terbaik buat kami mengadakan persembahan,” tambahnya.
Kumpulan dari Orlando, Florida ini sebulat suara menyatakan akan terus konsisten dalam menghasilkan muzik versi pop walaupun telah melalui fasa perubahan hidup.
“walaupun masing-masing sudah mempunyai keluarga, sehingga kini ahli kumpulan kami terus kekal bersama demi peminat selain akan terus mencipta lagu pop yang menepati citarasa para peminat,” kata Nick sewaktu ditemubual Astro Awani.
Sementara itu, Backstreet Boys juga dilaporkan sedang menjalani proses mendokumentasikan perjalanan kerjaya mereka.
Dokumentari tersebut dibikin oleh syarikat produksi dari London yang juga pernah menerbitkan filem konsert jelajah Katy Perry.
Backstreet Boys ditemui sewaktu sidang media di Hotel Hilton, Kuala Lumpur selepas menjayakan konsert Twin Towers At Live di KLCC, Kuala Lumpur.
#Backstreets Boys #BSB #Grand Prix 2013 #Twin Towers At Live
;