Baca al-Quran empat jam sehari rutin harian Neelofa sepanjang Ramadan
Gempak
Mac 13, 2025 10:10 MYT
Mac 13, 2025 10:10 MYT
Neelofa memulakan harinya seawal jam 4.30 pagi dengan mengerjakan solat sunat sebelum bersahur dengan suami.
BAGI memanfaatkan bulan mulia dengan baik, usahawan dan pengacara Neelofa berkongsi rutin hariannya sepanjang Ramadan yang dipenuhi dengan ibadah serta aktiviti keluarga.
Neelofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd Noor berkata, rutinnya bermula seawal 4.30 pagi dengan ibadah sebelum bersahur secara sederhana bersama suami, Haris Ismail.
“Saya bangun 4.30 pagi, ambil air sembahyang dan solat dahulu. Kemudian bersahur dengan kurma serta air 500 ml. Saya makan madu juga.
“Sepuluh minit sebelum azan, saya kejut Haris dan suapkan dia kurma. Selepas itu saya bersiap untuk solat, dia pula akan ke masjid,” katanya menerusi siaran langsung TikTok baru-baru ini.
Baca al-Quran
Selain menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, selebriti berusia 36 tahun itu turut mengkhususkan masa selama empat jam sehari untuk membaca al-Quran.
“Setelah itu saya akan membaca al-Quran selama empat jam sehari. Pada pukul 11 pagi atau 12 tengah hari pula saya tidur sekejap.
“Kemudian saya akan ke dapur siapkan makanan anak-anak. Selesai solat Zuhur, saya baca lagi,” jelasnya.
Manakala menjelang petang, bekas pengacara MeleTOP itu akan ke dapur bagi menyediakan juadah berbuka.
“Buat air jus, goreng karipap, potong bahan masakan. Tapi setakat ini baru sekali saya masak sebab mama hantar makanan hari-hari.
“Bilal pun akan suruh saya membaca al-Quran, jadi saya selang-selikan aktiviti dengan anak-anak,” ujarnya.
Perkongsian itu menerima reaksi positif daripada netizen yang kagum dengan disiplin Neelofa dalam mengisi bulan Ramadan. - Gempak