Azwan pertaruhkan logo gajah, yakin cipta kejutan

Sinar Harian
April 24, 2018 16:02 MYT
Azwan berkata, dia telah selesai urusan di Suruhanjaya Pilihan Raya, membuktikan kesungguhannya untuk bertanding PRU14 pada 9 Mei nanti. - Foto Sinar Harian
Nama selebriti Azwan Ali kembali sensasi setelah sekali lagi 'membuat hal' apabila kali ini menyatakan hasrat untuk bertanding dalam PRU14.
Bercakap kepada Sinar Harian, Azwan berkata, beliau berhasrat untuk bertanding di DUN Bukit Antarabangsa bagi menentang penyandang yang juga merupakan abangnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
"Panas, panas... panas, saya boleh sahkan bahawa saya menggunakan logo Gajah.
"Saya akan bertanding sebagai calon Bebas, sebab apa saya ke sana kerana, saya yakin rakyat di Bukit Antarabangsa, muak dengan janji palsu Azmin Ali," jelasnya.
Dalam pada itu ketika ditanya taruhan terbaik beliau buat rakyat Bukit Antarabangsa, Azwan menggariskan lima aku janji buat mereka.
"Antaranya, konsep turun padang tiap hari demi rakyat; Hapuskan politik rasuah serta merta; Masalah air Selangor diselesaikan secepat mungkin; Rumah mampu milik untuk rakyat dan Kerap sesi sedekah bersama rakyat," katanya
Sementara itu ketika ditanya tahap keyakinan beliau untuk meraih undi di kerusi berkenaan, Azwan menjelaskan, beliau tidak kisah sekiranya beliau hanya mendapat satu undi.
"Saya telah selesai urusan di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jadi ini membuktikan bahawa saya serius untuk bertanding
"Saya tetap yakin, walaupun satu undi, saya okay, ia sudah cukup berharga bagi saya meskipun hilang wang pertaruhan, itu duit saya bukan duit anda," katanya lagi.
Pada PRU13 lalu, Mohamed Azmin memenangi kerusi DUN Bukit Antarabangsa dengan jumlah undi sebanyak 16,502 menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Nazim Ibrahim yang memperoleh undi sebanyak 12,458.
#Aku Janji #Azwan Ali #Bebas #bertanding #Bukit Antarabangsa #calon #MalaysiaMemilih #Mohamed Azmin Ali #PRU14 #SPR #undi #wang pertaruhan
;