Azrinaz Mazhar Hakim umum kehamilan ketiga
Saharudin Musthafa
Jun 8, 2019 20:05 MYT
Jun 8, 2019 20:05 MYT
PERSONALITI terkenal, Azrinaz Mazhar Hakim mengumumkan bakal menimang cahaya mata ketiga sekitar awal Oktober ini.
Berita gembira itu dikongsi Azrinaz di laman Instagram peribadinya sebentar tadi.
Ini merupakan kehamilan pertama buat Azrinaz hasil pernikahannya dengan Fairos Khan Abdul Hamid pada 1 Mei tahun lalu.
Azrinaz yang pernah bergelar isteri kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah juga mempunyai sepasang cahaya mata bersama baginda iaitu, Pengiran Muda Abdul Wakeel, 13, dan Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, 11.
Azrinaz yang juga bekas wartawan penyiaran bersama stesen televisyen TV3 itu berkata, kandungannya kini berusia enam bulan dan sudah melepasi trimester kedua.
“Setinggi-tinggi syukur, saya telahpun melepasi trimester kedua. Berkat doa ibu bapa, sahabat handai serta kalian semua yang amat saya kasihi... Allah memberikan saya peluang sekali lagi untuk mempunyai zuriat, buat kali ketiga,” kata Azrinaz dalam entrinya itu.
Apa yang amat disyukuri Azrinaz juga, kehamilan ketiga ini terhasil tanpa bantuan teknologi moden.
“Namun saya akui, untuk berbadan dua pada usia yang bukan lagi remaja, tidaklah semudah 11 tahun yang lalu.
“Diharapkan semoga kandungan yang berusia enam bulan ini akan terus dititipkan dalam setiap doa kalian agar bayi ini dilahirkan sempurna, cukup sifat, sihat dan secara normal tanpa sebarang komplikasi,” kata Azrinaz sambil mengungkapkan kesyukuran pada Allah yang mengurniakan rezeki cahaya mata buat dia dan Fairos.
Azrinaz bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-40 pada September ini iaitu sebulan sebelum beliau dijangka melahirkan anak ketiga.